PETALING JAYA: Kerajaan harus menilai semula pengambilan graduan luar negara bekerja dalam sektor elektronik dan elektrikal (ENE) dan mendahulukan graduan tempatan terlebih dahulu bagi memenuhi sektor berikut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Sattar Rasul berkata, Malaysia tidak memerlukan graduan luar negara kerana pada masa ini ramai graduan lulusan ENE masih ‘menganggur’ sedangkan mereka mempunyai kebolehan dalam pembangunan teknologi tinggi.
Mengikut rekod, lebih 85 peratus dari keseluruhan 324,000 siswazah pada tahun lalu adalah dalam bidang kejuruteraan meliputi program ENE.
“Lulusan tempatan kita sangat ramai yang berkebolehan membangunkan ENE dan jika dilihat pada hari ini, ramai yang bekerja bukan dalam bidang mereka belajar.
“Graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sangat ramai bahkan kita menjadi rujukan kepada kebanyakan negara luar dalam membangunkan teknologi AI,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, apabila kerajaan mencadangkan pengambilan graduan luar bekerja dalam sektor berikut, industri teknologi sebenarnya kerugian kerana tidak mengambil peluang kemahiran tempatan.
Pada minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mencadangkan pengambilan graduan luar negara di Malaysia bekerja dalam sektor tertinggi.
Namun Tengku Zafrul menjelaskan, tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi amat diperlukan sekarang berikutan pelabur-pelabur tidak mampu untuk menunggu lebih lama dalam membangunkan sektor tersebut.
Menurut Mohamad Sattar, bukan graduan daripada lulusan ENE sahaja dapat bekerja dalam bidang berikut, malahan graduan Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga mampu memenuhi kehendak semasa industri.
“Graduan TVET tidak ada masalah dalam memenuhi kehendak industri kerana mereka juga mampu bekerjasama seperti mana graduan IPTA.
“Ini menjelaskan yang kita sebenarnya mempunyai tenaga mahir yang mencukupi dan tidak memerlukan graduan luar untuk memenuhi sektor berikut,” katanya. – UTUSAN










