PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil keputusan mengekalkan Farid Syazwan Abu Bakar sebagai ketua jurulatih skuad 15 sepasukan (s) negara bagi menghadapi Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada Jun ini.
Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Agung KRM, Fahmy Jalil yang menjelaskan, status Farid untuk kekal menerajui skuad negara mendapat sokongan semua exco badan induk itu.
Farid yang mesra disapa Lomu dilantik Mei lalu, menggantikan jurulatih sebelum ini, Rodney So’oialo yang merupakan bekas kapten pasukan New Zealand, All Blacks.
Turut sama dikekalkan adalah pembantu jurulatih, Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah dengan tambahan kehadiran semula Yusri Ramli dalam barisan kejurulatihan.
“KRM ambil pendekatan untuk mengekalkan Farid sebagai ketua jurulatih 15’s adalah atas di atas cadangan jawatankuasa kejurulatihan dan mendapat persetujuan barisan exco.
“Pelantikan Farid mendapat sokongan penuh daripada semua berdasarkan kemampuannya memimpin pasukan 15’s dalam saingan ARC tahun lepas, di mana margin keputusan itu dapat dikurangkan biarpun berdepan pelbagai kekangan,” jelas Fahmy kepada Utusan Malaysia.
Untuk kempen ARC kali ini, sebanyak 35 orang pemain berada dalam senarai panjang untuk dipanggil ke kem latihan pusat yang akan bermula pada 3 hingga 8 Marc ini.
KRM masih lagi akan menggunakan pendekatan sama iaitu, menggunakan 100 peratus tenaga tempatan tanpa kehadiran pemain naturalisasi bagi menghadapi saingan ARC yang dijadualkan berlangsung pada 1 Jun ini.
Tahun ini, Malaysia bukan sahaja perlu bersaing dengan Korea Selatan dan Hong Kong, namun turut berdepan pencabar baharu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Divisyen Perdana.
“Kita akan meneruskan saingan tahun ini 100 peratus pemain tempatan, tiada pemain naturalisasi dari Fiji seperti edisi terdahulu.
“Saya rasa pemain-pemain sedia yang dipanggil sebelum ini telah pun menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh Farid,” tambahnya. – UTUSAN










