KUALA LUMPUR : Sebanyak 50 lokasi panas atau ‘hotspot’ di sekitar ibu negara dikenal pasti polis Kuala Lumpur akan mengalami aliran trafik tinggi sempena Tahun Baharu Cina.
Turut dikenal pasti iaitu 11 ‘black spot’ kawasan sering berlaku kemalangan di ibu kota.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 140 anggota dan pegawai polis trafik akan ditugaskan sempena Op Selamat 21.
“Antara kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti adalah di Jalan Tun Razak/susur dari Bulatan Pahang, Jalan Cheras /Jalan Ikan Ayu, Jalan Kampung Kerinchi / Bangsar South dan Jalan Sultan Ismail/ Jalan Bukit Bintang.
“Antara lokasi ‘black spot’ adalah di Jalan Loke Yew, Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Kuching,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Allaudeen berkata, orang ramai dinasihatkan mengikut jadual perjalanan yang telah dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.
“Orang ramai juga perlu mendapatkan rehat yang secukupnya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Masyarakat juga dinasihatkan jangan menjadikan hari perayaan sebagai hari malapetaka, tidak ada apa yang perlu dikejar, pastikan perjalanan anda ke destinasi selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengamalkan pemanduan berhemah semasa perjalanan pulang ke kampung.
“Orang ramai perlu memastikan kediaman dikunci dan diyakini selamat untuk ditinggalkan sebelum perjalanan pulang ke kampung.
“Beri pemakluman kepada balai berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang sudah dinaik taraf,”katanya. – UTUSAN











