MELAKA: Kehadiran replika naga dengan panjang kira-kira 200 meter di Jonker Walk, Banda Hilir di sini bakal memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina di lokasi tumpuan pelancongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo berkata, naga yang menjadi lambang zodiak tahun ini menelan kos sebanyak RM500,000 untuk disiapkan sejak dua bulan lalu.
Katanya, saiz replika yang boleh dianggap terbesar di dunia itu berukuran 588 kaki atau 179.2 meter panjang dengan berat mencecah 160 kilogram (kg).
“Selain bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, persembahan ini juga adalah sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
“Naga menjadi lambang kegagahan, keberanian dan perpaduan rakyat Malaysia khususnya di Melaka. Replika zodiak ini memerlukan hampir 200 orang untuk diarak di kawasan tumpuan pelancong ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Tian Loo, perarakan naga di Jonker Walk pada 21 Februari ini juga merupakan sebahagian persediaan bagi menyambut World Tourism Day atau Hari Pelancongan Dunia 2025.
Jelasnya, selain itu pihaknya turut memasang lebih 1,000 tanglung besar di kawasan berkenaan bagi menyajikan pemandangan memukau kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Kami yakin replika naga dan tanglung ini akan memberikan keterujaan kepada orang ramai terutama kanak-kanak semasa melihatnya. Selain itu, ia bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China,” katanya. – UTUSAN










