IPOH: “Kalau arwah masih ada, dia mesti sedang berada di sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)”.
Demikian luah Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, abang kepada Muhammad Zaharif Affendi, 17, yang maut dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis dalam kejadian di Jalan Taman Jati, Meru di sini Disember lalu.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, adik bongsunya merupakan pelajar aliran sastera dan mengambil tujuh mata pelajaran bagi peperiksaan SPM 2023.
“Kalau ikutkan memang arwah sedang SPM sekarang, semalam pun sepatutnya dia sedang menjawab soalan bagi kertas Pendidikan Islam.
“Sedih dan ralat rasanya kerana arwah tidak sempat untuk menduduki SPM tapi kami sekeluarga berlapang dada dengan takdir dan ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, mereka sekeluarga kini menjalani kehidupan seperti biasa malah restoran ibu bapa mereka yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian juga telah beroperasi semula.
“Saya dan keluarga menerima apa yang terjadi cuma kami ralat dengan cara pemergiannya.
“Sejujurnya, sampai sekarang saya sebak setiap kali nampak pelajar sekolah berpakaian sukan, sebab ketika kejadian, arwah memakai baju sukan,” katanya.
Tambahnya, selain mereka sekeluarga, rakan-rakan Zaharif turut terkesan dan bersedih dengan kejadian itu.
“Masa awal kejadian, ada guru-guru beritahu yang rakan-rakan sekelas arwah trauma dan bersedih. Ada juga rakan arwah datang ke kedai berjumpa emak sambil menangis kerana teringatkan arwah,” katanya.
Zarul Fitri sebelum itu hadir ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mengikuti prosiding sebutan semula kes ke atas Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa atas pertuduhan bunuh Muhammad Zaharif.
Pada prosiding semalam, Majistret S. Punitha menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Majistret S. Punitha menetapkan tarikh itu untuk sebutan semula selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah, terdapat dokumen-dokumen yang belum diperoleh dan pihaknya memerlukan masa bagi penyediaan dokumen berkenaan.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.
Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal. – UTUSAN










