PETALING JAYA: Saham Reneuco Berhad susut pada Rabu selepas Bursa Malaysia Securities memberi amaran bahawa urus niaga saham berkenaan akan digantung jika syarikat itu gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.
Pada 5 petang, saham syarikat yang juga pakar tenaga boleh baharu itu susut 37.5 peratus atau 0.03 sen kepada 0.05 sen.
Bursa Malaysia dalam kenyataannya kelmarin berkata, Reneuco gagal mengemukakan laporan tahunan menjelang 31 Januari yang merupakan tarikh akhir penyerahan di bawah peraturan penyenaraian.
Katanya, jika syarikat gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa yang berkaitan, Bursa Securities akan menggantung dagangan syarikat tersebut.
“Sekiranya Reneuco tidak dapat menyerahkan laporan tertunggak pada atau sebelum 8 Februari 2024, dagangan dalam sekuriti syarikat akan digantung berkuat kuasa dari 9 pagi pada Jumaat, 9 Februari 2024 sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Pada 30 Januari lalu, Reneuco mendedahkan ketidakupayaannya untuk mengeluarkan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir pada 30 September 2023 menjelang tarikh akhir pada 31 Januari, sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan penyenaraian.
Menurutnya, kelewatan dalam pengeluaran laporan tersebut disebabkan oleh masa tambahan yang diperlukan untuk menyiapkan auditnya.
Pada masa yang sama, kumpulan ini sedang aktif berusaha untuk memenuhi tarikh 8 Februari, iaitu tarikh di mana mereka perlu mengemukakan laporan tahunan untuk mengelakkan pergantungan dagangan saham.-UTUSAN










