PETALING JAYA: Malaysia berada di kedudukan ke-15 dunia dan ketiga di rantau ASEAN dalam Indeks Pembangunan Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2023 (IDI 2023).
Malaysia meraih skor sebanyak 94.5 daripada jumlah keseluruhan 100 mata, melepasi skor purata global iaitu 72.8 mata, sekali gus menunjukkan pencapaian cemerlang ke arah mencapai sasaran Kesalinghubungan Sejagat dan Bermakna.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk merealisasikan kesalinghubungan sejagat dan bermakna buat semua rakyat Malaysia, dengan keterangkuman sebagai pemacu utama dalam memastikan perkhidmatan komunikasi adalah merata.
Katanya, dengan sokongan padu dan kerjasama pelbagai pihak, pelaksanaan infrastruktur digital telah dipercepat dengan penerimagunaan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) oleh kerajaan negeri.
Tambahnya, ia juga disokong dengan penubuhan Jawatankuasa Penyeragaman Kos Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi yang diluluskan oleh Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM).
“Sokongan daripada semua pihak berkepentingan telah membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memajukan perancangan dan pelaksanaan liputan 5G dan satelit bagi menangani cabaran kesalinghubungan di kawasan pedalaman dan terpencil,” katanya dalam kenyataan.
Indeks IDI 2023 merangkumi 10 indikator.
Antaranya, IDI 2023 melaporkan bahawa Malaysia telah hampir mencapai liputan sejagat bagi rangkaian mudah alih 4G/LTE, langganan jalur lebar mudah alih yang tinggi serta harga
yang lebih rendah untuk perkhidmatan jalur lebar tetap dan mudah alih.
Malaysia turut merekodkan kadar penggunaan internet, pemilikan telefon bimbit dan trafik internet yang tinggi.
Kesemua pencapaian berkenaan jelas menunjukkan akses yang mampan kepada perkhidmatan digital serta penglibatan digital secara meluas di Malaysia.
Setakat 31 Disember 2023, pelaksanaan 5G di Malaysia telah mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.-UTUSAN










