Jangan sekat kebebasan bersuara rakyat

Jangan sekat kebebasan bersuara rakyat

WALAUPUN kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi tetapi ia masih boleh disekat sekiranya menggugat keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBEBASAN bersuara dan meluahkan pendapat adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia sejagat dan ia termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan negara.

Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa. Ia juga tidak wajar disekat. Walaupun orang ramai sering diseru menggunakan medium ini dengan baik dan penuh tanggungjawab tetapi dalam masa sama kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk bersuara dan meluahkan pendapat terus dihormati dan dilindungi.

Kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat adalah penting untuk setiap manusia di atas muka bumi ini kerana melaluinya seseorang individu itu dapat melakukan pelbagai perkara seperti mempertahankan diri mereka sendiri, membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara.

Agak sukar untuk seseorang individu, masyarakat dan negara untuk maju dan bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati.

Setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan memiliki pelbagai ragam, pandangan dan pemikiran. Setiap keunikan dan perbezaan ini melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain.

Pemahaman dan pendapat yang berbeza ini seharusnya didengari, dinilai dan dipertimbangkan bagi membantu masyarakat dan negara untuk bergerak ke hadapan demi manfaat dan kebaikan semua pihak.

Sekiranya kita mewujudkan sebarang jenis undang-undang baharu ataupun menggunakan peruntukan perundangan sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara serta meluahkan pendapat, ia dibimbangi boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan negara.

Seperti mana Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memperuntukan dengan jelas kebebasan setiap manusia di serata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan dan pendapat penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara kita iaitu semenjak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Seperti yang telah dinyatakan, hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga jelas termaktub dan dilindungi dibawah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara Malaysia.

Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan setiap rakyat negara ini untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara. Ia penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri serta menjamin kemajuan dan pembangunan negara.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi sekali dalam Malaysia. Sebarang jenis peruntukan undang-undang yang ingin dirangka oleh pihak kerajaan perlu selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya peruntukan undang-undang yang telah dirangka tidak selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, maka peruntukan perundangan terbabit boleh diisytiharkan sebagai terbatal ataupun tidak sah.

SEKATAN
Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukan termasuk kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak bersifat mutlak. Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa–apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana–mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara–negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan–sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana–mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa–apa kesalahan.

Dengan ini, pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang-undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tiada mana-mana pihak dalam negara ini yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang telah diberikan.

Walaupun kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat ini boleh dihadkan berdasarkan peruntukan Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ini, namun ia tidak bermakna pihak pemerintah boleh merangka sebarang jenis undang-undang bagi mengekang hak setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat.

Hak orang ramai untuk bersuara dan memberi pendapat mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggir atau disisih dalam kemajuan dan pembangunan negara.

Semua pihak harus berani mendengar setiap rintihan dan luahan hati orang lain walaupun ia merupakan satu proses yang sukar dan berat untuk dilakukan. Setiap pandangan harus didengari dan difahami dengan baik.

Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses perbincangan dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan oleh mereka serta menyelesaikan sebarang jenis isu ataupun masalah berbangkit.-UTUSAN

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×