Buka ruang sirih pulang ke gagang bawa kelebihan

Buka ruang sirih pulang ke gagang bawa kelebihan

KONSEP Pengajaran Kolaboratif melibatkan alumni yang berjaya dalam bidang berkongsi kepakaran dan pengalaman boleh menjadi inspirasi kepada pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEHINGGA kini, pelbagai penambahbaikan kurikulum pengajian dilakukan di peringkat kursus-kursus pengajian di institut pengajian tinggi. Antara salah satu inisiatif yang dilakukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah konsep Pengajaran Kolaboratif.

Konsep ini yang juga dikenali sebagai team-teaching atau co-teaching, merujuk kepada pendekatan kolaborasi pengajaran yang melibatkan beberapa tenaga pengajar dalam kalangan pensyarah di universiti mahupun rakan industri bersama beriringan untuk memudahcara pengajaran, mendidik, membimbing dan melatih pelajar bagi memperkasa pembelajaran kendiri pelajar.

Antara modul Pengajaran Kolaboratif yang dilaksanakan di UiTM adalah penilaian kerja kursus pelajar bersama dengan rakan industri. Modul ini memberi ruang penglibatan rakan industri yang dipilih dalam kalangan alumni yang berjaya di bidang masing-masing untuk terlibat sama dalam penilaian tugasan kerja pelajar.

Bagi mencapai objektif pelaksanaan Pengajaran Kolaboratif untuk Kod Kursus Pengurusan Strategik di UiTM Kampus Bandaraya Melaka pada semester ini, saya menjemput pemain industri yang juga merupakan seorang alumni yang berjaya dalam bidang perniagaan bersama dengan beberapa rakan pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan untuk menggalas tanggungjawab dalam membuat penilaian terhadap pembentangan projek akhir bagi 13 kumpulan pelajar.

Saya berpendapat, pengalaman sebagai seorang bekas pelajar yang pernah mengambil kod kursus ini juga dan ditambah dengan pengalaman yang ditimba dalam pelbagai cabang perniagaan yang dimiliki, pasti memberikan impak positif terhadap cadangan perancangan strategik yang telah dihasilkan oleh setiap kumpulan pelajar.

Bagi Kursus Pengurusan Strategik tersebut, setiap kumpulan pelajar memilih sebuah perniagaan sebagai subjek projek dari awal semester. Mereka dikehendaki membuat analisis perancangan strategik berdasarkan topik-topik yang dibincangkan dalam pelan pengajian kod kursus tersebut dan mencadangkan beberapa strategi yang bersesuaian dengan isu dan permasalahan semasa yang dihadapi oleh perniagaan itu.
Hasil daripada analisis tersebut, mereka perlu membuat pembentangan untuk dinilai oleh panel- panel yang dilantik.

Secara khususnya, penglibatan alumni dalam penilaian kerja kursus pelajar di universiti mempunyai kepentingan yang signifikan.

Pertama, kehadiran alumni dapat memberikan perspektif praktikal dan pandangan industri terkini kepada pelajar. Melalui pengalaman mereka setelah tamat pengajian, alumni dapat memberikan wawasan yang berharga tentang aplikasi dunia nyata dari pengetahuan yang diperoleh semasa berada di universiti.

SEIMBANG
Pendedahan praktikal dari konteks mereka yang sememangnya berada di dalam industri, dapat menyeimbangkan ilmu teori yang telah diberikan oleh pensyarah di dalam bilik kuliah.

Kedua, keterlibatan alumni dapat membantu universiti untuk menilai keberhasilan kerja kursus program dan menyempurnakan kurikulum agar sesuai dengan keperluan pasaran kerja.

Kehadiran alumni yang telah mengecapi kejayaan di bidang perniagaan juga adalah bukti keberhasilan pihak universiti dalam mempersiapkan mahasiswa untuk kerjaya professional dan penglibatan mereka pasti dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan.

Ketiga, penglibatan alumni di dalam penilaian kerja kurus pelajar ini turut penting dari sudut pembangunan jaringan profesional pelajar. Melalui interaksi bersama dengan alumni, pelajar dapat memperluaskan jaringan kerjaya dan membina keyakinan diri sebagai persediaan ke alam pekerjaan mahupun menerokai dunia perniagaan sama seperti panel penilai yang hadir bagi menilai kerja kursus mereka.

Saya yakin, peluang untuk melihat dan mendengar maklum balas dari seorang bekas pelajar yang tamat pengajian dari fakulti dan kampus yang sama dan mengecapi kejayaan di dunia perniagaan pasti meninggalkan kesan yang positif dalam kalangan pelajar yang terlibat.

Di samping penglibatan alumni dapat memberikan inspirasi kepada kejayaan pelajar, ia juga dapat meningkatkan tahap motivasi seseorang pelajar itu. Umpama ungkapan sirih pulang ke gagang, maklum balas secara langsung dari pihak alumni terhadap hasil kerja kursus yang dihasilkan pelajar dapat menjadi sumber inspirasi yang kuat bagi generasi pelajar saat ini.

Ini tidak hanya meningkatkan semangat belajar, tetapi juga memotivasikan mereka untuk meraih prestasi yang sama atau lebih baik dalam pembentukan kerjaya di masa hadapan.

Di akhir setiap pembentangan kumpulan, panel penilai telah diberikan ruang untuk memberikan maklum balas dan bertanyakan soalan terhadap cadangan-cadangan strategi yang dihasilkan.

Sungguhpun mendapat reaksi yang pelbagai dari raut wajah setiap pelajar semasa menunggu maklum balas dan soalan yang akan diajukan oleh panel penilai, saya boleh merasakan setiap kumpulan pelajar menghargai pandangan yang praktikal dan respons yang konstruktif untuk mereka lakukan penambahbaikan sebelum laporan akhir kajian dibuat dan diserahkan kepada saya untuk penilaian.

Di akhir program, alumni itu memberikan maklum balas kepada saya yang masih segar diingatan. Dia begitu kagum dengan keyakinan dan keupayaan dalam penyampaian pembentangan oleh kumpulan-kumpulan pelajar yang terlibat. Malahan, terdapat beberapa kumpulan pelajar yang dilihat mampu untuk menghasilkan cadangan- cadangan strategi yang sangat praktikal dari sudut kaca matanya sebagai seorang ahli perniagaan.

Bukan itu sahaja, beliau juga secara jujurnya mengakui terdapat perubahan yang sangat besar dan signifikan terhadap kerja kursus Perancangan Strategik sekiranya dibandingkan dengan pengalamannya semasa mengambil kod kursus yang sama.

Pandangan secara langsung ini menunjukkan pihak universiti mampu membawa perubahan di dalam pelan pengajian agar selari dengan keperluan industri.

Akhir kata, pengalaman membawa sirih untuk pulang ke gagang ini menghasilkan kesan positif kepada para pelajar dan kepada kami selaku tenaga pengajar di universiti. Adalah diharapkan agar lebih ramai pensyarah membuat inisiatif yang sama agar keseimbangan di antara teori dan praktikal dapat diwujudkan bagi menghasilkan para graduan yang memenuhi keperluan industri di masa hadapan.

Universiti dan industri berpisah tiada dan UiTM sentiasa di hati.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Ahmad Fadhly Arham ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×