Pengampunan Najib tidak gugat kerajaan perangi rasuah - Utusan Malaysia

Pengampunan Najib tidak gugat kerajaan perangi rasuah

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk membanteras gejala rasuah di  negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman keputusan Lembaga Pengampunan tidak sesekali tidak  menggugat pendirian Kerajaan Perpaduan untuk memerangi rasuah.

Menurut  beliau, terdapat pihak tertentu bersuara lantang di hadapan individu yang dipenjara namun membisu dan terus bersekongkol dalam menggeledah serta memunggah kekayaan puluhan bilion ringgit milik negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ambil maklum dan faham bahawa keputusan Lembaga Pengampunan minggu lalu telah mencetus wacana meluas serta beberapa pandangan keras  segelintir pihak.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa hal ini tidak sama sekali menggugat pendirian Kerajaan  melawan rasuah habis-habisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Selepas pengampunan itu, hukuman penjara  bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 tahun kepada  enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam pada itu, Anwar berkata, proses pengampunan tersebut bukan hanya terkait soal undang-undang semata-mata tetapi pertimbangan utama adalah soal ihsan dan hak sesiapa untuk bebas memohon.

Katanya, perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan wewenang dan budi bicara penuh bagi Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan urusan-urusan terkait Wilayah Persekutuan yang dibicarakan dalam Lembaga Pengampunan.

Jelasnya, keputusan yang dilakukan oleh baginda merupakan keputusan muktamad.

“Saya tegaskan keputusan itu dibuat mengikut proses sedia ada dan peruntukan undang-undang.

“Tidak ada usaha mempercepatkan pengampunan seperti tanggapan pihak tertentu. Sebaliknya  mana-mana rayuan, sama ada oleh Najib atau sesiapa sahaja yang dikemukakan akan dibawa dan mesti dibicarakan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×