KUALA TERENGGANU: Seorang juruukur bahan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM14,500 dan sebuah motosikal ‘Ysuku’ sejak 2019 sehingga 2020.
Malike Mohamed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku juruukur bahan kanan sebuah universiti awam didakwa secara rasuah memperoleh kepada diri sendiri sebagai suapan bernilai RM3,000.
Bayaran itu diterima pada 15 Mei 2019 sebagai dorongan bagi perbuatan hal ehwal prinsipal iaitu melancarkan tuntutan bayaran interim yang dibuat sebuah syarikat kepada universiti awam berkenaan.
Malike didakwa terus menerima suapan keseluruhan RM14,500 pada 27 Jun 2019, 3 November 2019, 12 Disember 2019, 1 Januari 2020, 6 Januari 2020, 24 Januari 2019 dan 6 Julai 2020.
Bagi kesalahan itu Malike didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana-mana lebih tinggi.
Selain itu, Malike selaku penjawat awam turut dituduh menerima untuk diri sendiri barang tanpa balasan iaitu sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di Kampung Mengabang Tengah pada Ogos 2019.
Tertuduh didakwa bagi kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 10 Mac sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










