KUALA LUMPUR: Golongan profesional di negara ini diingatkan untuk tidak mengamalkan sikap berdiam diri atau membisu dengan gejala rasuah yang melibatkan puluhan bilion ringgit dan menyebabkan negara berhadapan kerugian.
Ingatan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di Pusat Konvensyen KLGCC.
Anwar berkata, kejayaan memacu pertumbuhan ekonomi dan berteknologi tinggi memerlukan kepakaran pelbagai bidang, namun ia mesti disertai dengan kecekapan serta tatakelola yang bersih bagi mengelakkan amalan salah guna kuasa dan rasuah.
Beliau berkata, bahaya sekiranya golongan pakar hanya menumpukan perhatian kepada bidang pengkhususan masing-masing tanpa mempunyai kepekaan sosial serta etika yang kukuh.
“Seseorang itu mungkin pakar yang hebat dalam bidangnya, tetapi menjadi pekak dan bisu tentang perkara-perkara lain di sekelilingnya. Keterlanjuran masa lalu seperti kes 1MDB, Tabung Haji dan FELDA bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada pimpinan politik, tetapi golongan profesional juga tidak boleh terlepas.
“Bagaimana kita boleh membiarkan keterlanjuran berlaku sehingga negara rugi puluhan bilion ringgit jika sistem kita benar-benar mengamalkan tatakelola yang baik dan berani melontarkan idea?” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pimpinan politik, penjawat awam dan tenaga profesional mesti berada dalam satu aliran serta bergerak pantas sebagai satu pasukan.
Katanya, ia bagi memastikan peningkatan produktiviti negara berjalan seiring dengan amalan yang mampu menghentikan budaya “sakau” yang merugikan ekonomi negara.
“Sebab itu saya popularkan istilah sakau ini, walaupun ada yang kurang senang. Kita mahukan striving for excellence atau dalam Islam diungkapkan sebagai itqan fil ‘amal, suatu nilai yang sebenarnya sudah tersemat dalam budaya, falsafah agama dan pegangan kita,” katanya. – UTUSAN











