Ujian getir menanti Tang Jie-Ee Wei di final Thailand Masters

Ujian getir menanti Tang Jie-Ee Wei di final Thailand Masters

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mahu mencipta kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke perlawanan akhir selepas mengetepikan pasangan No. 11 dunia, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito pada separuh akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.

Gandingan No. 9 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu menang straight set 21-11, 21-17 ke atas Midorikawa-Saito yang juga merupakan pilihan ketiga kejohanan dalam masa 32 minit.

Kemenangan itu juga amat bermakna kepada pasangan muda Malaysia itu yang tewas ditangan Midorikawa-Saito di hadapan penyokong sendiri pada Terbuka Malaysia, bulan lepas.

Dalam aksi final, esok, ujian lebih getir menanti Tang Jie-Ee Wei yang bakal berdepan beregu tuan rumah yang merupakan gandingan No. 6 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Bekas juara dunia itu menundukkan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-17, 21-14 dalam masa 37 minit.

Tang Jie-Ee Wei yang berdepan kemerosotan prestasi sejak musim 2024 bermula awal bulan lalu, sering terkandas di pusingan kedua dalam tiga kejohanan yang mereka sertai bermula di Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters.

Persembahan hambar yang dipamerkan beregu yang baru setahun digandingkan itu telah mencetuskan kebimbangan jurulatih mereka, Nova Widianto yang menggesa Tang Jie-Ee Wei untuk segera bangkit.
Kejayaan mereka mara ke pentas akhir sekurang-kurangnya membuat peminat badminton di tanah air menarik nafas lega.

Esok, Puavaranukroh-Taerattanachai bakal menguji kemampuan sebenar Tang Jie-Ee Wei sama ada mereka sudah benar-benar bersedia untuk kekal berada dalam kelompok 10 terbaik dunia ataupun sebaliknya.

Berdasarkan rekod pertemuan 4-1 yang berpihak kepada beregu Thailand itu sudah cukup memberi gambaran laluan yang bakal diharungi Tang Jie-Ee Wei.

Namun, satu-satunya kemenangan yang mereka lakar ke atas Puavaranukroh-Taerattanachai pada Terbuka Arctic di Finland, Oktober tahun lalu mungkin boleh menjadi suntikan motivasi untuk beregu muda negara itu cuba mencipta kejutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×