Kad merah Najmi dirujuk Jawatankuasa Disiplin 

Kad merah Najmi dirujuk Jawatankuasa Disiplin 

Pertahanan Maybank, Najmi Farizal Jazlan dilayangkan kad merah ketika menentang Tenaga Nasional Berhad dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 kelmarin. (FOTO: MHC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain pertahanan Maybank, Najmi Farizal Jazlan mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk mengetahui status pengantungannya dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 apabila kes beliau akan dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Najmi dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Ahmad Nazirul kerana mengeluarkan kata-kata kesat ketika pertemuan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelmarin, yang menyaksikan perlawanan itu berkesudahan 3-3.

Ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam mengakui ia satu tamparan untuk pasukan memandangkan Najmi berkemungkinan akan digantung lebih daripada satu perlawanan.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang diungkapkan Najmi sehingga dia dilayangkan kad merah. Bagi ia satu keputusan itu terlalu keras, kalau berdasarkan kepada makian yang dilemparkan Najmi.

“Saya tidak pasti berapa lama Najmi akan digantung, kebiasaannya dua perlawananan. Kami akan terpaksa menghadap Jawatankuasa Disiplin atas isu ini, dan kami akan sedaya upaya membuat rayuan bagi untuk mengurangkan hukuman bagi Najmi,” kata Azrul kepada Utusan Malaysia. 

Dalam pada itu, rakan sejawat Azrul di kem TNB, Nor Saiful Zaini menegaskan masih terlalu awal untuk menilai prestasi awang importnya, Jang Jong Hyun yang dilihat bergelut dalam perlawanan pertama kelmarin.

Jong Hyun hadir dengan reputasi sebagai antara pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, dan pernah menjadi penjaring terbanyak MHL untuk dua musim berturut-turut pada 2016 dan 2017.

Bagaimanapun, pertahanan Korea Selatan itu buntu untuk menembusi gawang Maybank, sebaliknya rakan sepasukan, Syed Syafiq Syed Cholan lebih menyinar dengan menjaringkan dua gol untuk TNB.

“Ini adalah perlawanan pertama, jadi kita beri peluang kepada dia untuk dapatkan rentak sebenar pada aksi kedua atau ketiga nanti. Perlawanan hari ini (kelmarin) kita berjaya dapatkan satu mata.

“Saya yakin Jang (Jong-hyun) akan melakukan kebangkitan pada perlawanan seterusnya. Buat masa ini, kita belum nampak struktur yang benar-benar kukuh kerana pemain-pemain sedang menyesuaikan diri antara satu sama lain,” kata Saiful.-UTUSAN

KASPYEN: PERTAHANAN Maybank, Najmi Farizal Jazlan dilayangkan kad merah ketika menentang Tenaga Nasional Berhad dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 kelmarin. (FOTO: MHC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×