Rumah dipenuhi lumpur, mangsa banjir masih tinggal di PPS

Rumah dipenuhi lumpur, mangsa banjir masih tinggal di PPS

PENDUDUK membersihkan pakaian yang diselaputi lumpur akibat banjir di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Dungun, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Meskipun banjir telah surut sepenuhnya sejak Sabtu lalu, namun mangsa banjir di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja, dekat sini, masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka masih dipenuhi lumpur.

Tinjauan di kawasan Hulu Dungun mendapati kerja-kerja pembersihan lumpur di kawa­san kediaman penduduk masih giat dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Seorang penduduk Kampung Pasir Raja, Norhazilah Hamzah, 35, berkata, dia dan keluarganya masih tinggal di PPS berikutan lantai rumahnya rosak teruk dan berlubang akibat banjir besar pada Khamis lalu.

“Kalau boleh memang nak duduk rumah sendiri lebih selesa. Namun, banjir kali ini me­nyebabkan lantai rumah berlubang, bimbang juga kalau tiba-tiba runtuh.

“Buat masa sekarang saya tinggal di PPS dahulu sehingga lantai rumah dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ramlan Ibrahim, 45, berkata, banjir yang paling teruk dalam tempoh lebih 50 tahun itu menyebabkan hampir keseluruhan peralatan dalam rumahnya musnah.

“Kami belum bersedia hendak balik rumah sebab keadaan rumah tidak selesa. Kesan lumpur pun masih ada terutamanya di luar rumah.

“Habis semua peralatan rumah saya rosak termasuk bara­ngan elektrik, perabot dan ti­lam. Saya akan cuba baiki ba­rangan elektrik seperti peti dan mesin basuh, harapnya ada re­zeki kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×