KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik pada 2022 berpunca masalah sawah jerlus melibatkan keluasan 1,000 hektar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar KADA, Mohd. Faizul Mustafa berkata, jumlah itu berpandukan kepada pengeluaran hasil sebanyak 4.2 tan metrik bagi kawasan petak sawah seluas satu hektar.
“Kita (KADA) akui situasi itu (sawah jerlus) bukan sahaja menjejaskan pengeluar padi malah memberikan kesan tidak baik kepada golongan pesawah.
“Walaupun kawasan itu boleh diusahakan, namun hasil tidak dapat dituai sepenuhnya. Hal demikian ini kerana jentuai kita tidak dapat masuk ke kawasan itu disebabkan oleh masalah tersebut (sawah jerlus),” katanya.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, KADA menggalakkan petani menggunakan jentera yang lebih ringan dan bersesuaian dengan struktur tanah.
Katanya, ini bertujuan mengurangkan kerosakan pada struktur sawah yang menyumbang kepada faktor masalah tanah jerlus.
“Pada masa sama, KADA meningkatkan penggunaan bahan mikrob dan zeolit dalam usaha membaiki hardpan tanah di kawasan sawah jerlus,” ujarnya.
Mohd. Faizul berkata, pihaknya sentiasa berusaha dan bekerja keras dengan melakukan pelbagai usaha dalam meningkatkan hasil bekalan padi negara.
Katanya, usaha itu selari dengan hasrat menjadikan KADA sebagai jelapang makanan negara pada masa hadapan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan berusaha memulih dan membangunkan kawasan sawah padi jerlus sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada import.
Langkah itu antara 12 inisiatif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Gelombang Padi bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada serta hala tuju baharu industri padi dan beras negara. – UTUSAN










