Boleh gubal akta lompat parti - Utusan Malaysia

Boleh gubal akta lompat parti

Di Singapura, kerusi Parlimen menjadi kosong jika penyandangnya tidak lagi menjadi wakil rakyat atau dipecat atau meletak jawatan dalam parti. – Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, seorang wartawan bertanya, apakah benar satu undang-undang antilompat itu tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana undang-undang sedemikian bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan?

Saya kira soalan itu dikemukakan kepada saya ekoran satu tajuk berita muka depan sebuah akhbar tempatan minggu lalu, Lompat parti tak salah. Akhbar tersebut memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai berkata, tindakan wakil rakyat selama ini yang melompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam komen ringkas saya mengenai kenyataan menteri itu (rencana bertajuk Integrity in Politics: An Unreachable Dream) disiarkan di sebuah portal berita pada 8 Mac lalu), saya nyatakan andainya kenyataan menteri itu diertikan sebagai memberi gambaran adalah tidak salah bagi seorang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mengkhianati janjinya kepada pengundi di kawasan yang telah memilihnya, juga tidak salah mengkhianati sumpah setianya kepada parti yang mencalonkannya bertanding atas nama parti tersebut, maka ia amat dikesali.

Walaupun seribu kali kita katakan perbuatan lompat parti itu bukan satu ‘kesalahan’ dari segi undang-undang bertulis (disebabkan tidak ada undang-undang yang mengharamkan perbuatan itu pada masa ini), perbuatan itu tetap tidak bermoral, tidak beretika, mencalar integriti individu berkenaan. Kata pepatah, kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dalam Islam, seorang mukmin itu terikat dengan akad (janji yang dilafaz atau dirakam secara bertulis).

Dalam jawapan ringkas kepada wartawan sama, saya jelaskan, sekiranya kita gubal undang-undang antilompat itu dalam bentuk satu Enakmen Negeri seperti yang dilakukan di Kelantan dan Pulau Pinang sebelum ini, pasti ia akan dipersoalkan disebabkan ada peruntukan di dalamnya yang menyalahi (bertentangan) dengan Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Fasal (1)(c) Perlembagaan menjamin hak setiap warga negara ‘membentuk persatuan’ yang ditafsirkan secara luas untuk meliputi hak untuk ‘menyertai atau meninggalkan’ apa-apa persatuan.

Mana-mana undang-undang bertulis yang bertentangan dengan Fasal (1)(c) akan menjadi tidak sah dan terbatal.

DIPECAT

Dalam kes Nordin Salleh dan Wan Najib di Kelantan pada 1992, keputusan Mahkamah Agong bahawa pindaan kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan (memasukkan satu peruntukan baharu, Perkara XXX1A) melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah benar dan tepat kerana apa yang disebutkan dalam pindaan itu bahawa seorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia lompat parti (menyertai parti lain). Halangan itu jelas bertentangan dengan Fasal (1)(c) di atas.

Di Pulau Pinang, Perkara 14(A)(1) Perlembagaan Negeri menyatakan, seorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika (a) setelah dilantik sebagai calon sebuah parti dia kemudian meletak jawatan atau dipecat atau berhenti menjadi ahli parti itu, atau (b) setelah dilantik sebagai calon Bebas, kemudian menyertai sebuah parti politik.

Matlamat peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu adalah jika seseorang itu lompat parti atau seorang wakil Bebas menyertai mana-mana parti politik, dia hendaklah mengosongkan kerusinya. Peruntukan ini jelas bertentangan dengan Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Di Singapura, peruntukan Perlembagaan negaranya berbeza sedikit dan lebih kemas digubal. Perkara 46(2) menyatakan, ‘kerusi seorang ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong’ jika dua perkara berlaku. iaitu (a) dia tidak lagi menjadi ahli (maksudnya ahli Parlimen), atau (b) dia dipecat atau meletak jawatan dari parti yang bagi parti itu dia bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.

Peruntukan di Singapura itu bererti jika seorang ahli parti politik lompat parti (yang mana akibatnya dia akan dipecat oleh pemimpin partinya , andainya dia tidak terlebih dahulu meletak jawatan seperti yang digambarkan dalam (perenggan (b) di atas), maka dengan kehendak undang-undang, kerusinya menjadi kosong dan tidak timbul persoalan dia mesti mengosongkan kerusinya.

Mengikut satu kajian yang dibuat pada 2009, 41 daripada 193 negara melaksanakan undang-undang antilompat parti.

Andainya 222 ahli Parlimen kita mahu undang-undang antilompat dilaksanakan, caranya adalah dengan menggunakan Perkara 10 Fasal (2) (a), iaitu meluluskan satu Akta Anti Lompat Parti sebagai satu undang-undang Persekutuan yang berkuat kuasa di seluruh negara.

Di bawah Fasal (2)(a) itu, Parlimen diberi kuasa membuat undang-undang antilompat parti dengan alasan perlu atau suai manfaat bagi menjami kepentingan keselamatan Persektuan, atau mana-mana bahagiannya. Akta Anti Lompat Parti yang dibuat oleh Parlimen di bawah peruntukan ini tidak tertakluk kepada (bertentangan dengan) Fasal (1)(c).

Pengalaman silam sudah cukup mengajar kita, perbuatan lompat parti yang berlaku di negara ini (ibu negara dan Sabah sebelum ini) telah memporak-perandakan negara, sekali gus menggugat ‘kepentingan keselamatan’ negara.

Andainya 222 ahli Parlimen kita benar-benar utamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat, tidak ada sebab mengapa mereka mahu membiarkan penyakit kronik lompat parti ini terus menghuru-harakan negara.

Kesimpulannya, undang-undang antilompat akan menghadapi masalah jika ia digubal dan dilululuskan sebagai Enakmen Negeri atau pindaan kepada Perlembagaan Negeri. Cara terbaik adalah manfaatkan Perkara 10 Fasal (2) (a) itu sendiri dan gubal satu Akta Persekutuan. Soalnya bagi 222 ahli Parlimen kita, apakah mereka sudah ‘sampai seru’?

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×