Hempedu arnab ‘ubat’ sukar dapat zuriat?

Hempedu arnab ‘ubat’ sukar dapat zuriat?

NUR HIDAYAH SHAARANI menunjukkan hempedu arnab (warna hitam) yang dikatakan mampu mengatasi masalah pasangan suami isteri yang sukar mendapat anak di Kampung Sungai Lampam, Teluk Intan semalam. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Hempedu arnab kini menjadi buruan pasangan suami isteri yang masih belum mempunyai anak kerana dikatakan sebagai salah satu ikhtiar bagi mengatasi masalah kemandulan atau sukar mendapat zuriat.

Menurut seorang penternak arnab, Nur Hidayah Shaarani, 35, beliau mendapat permintaan yang menggalakkan untuk organ dalaman haiwan jenis mamalia itu selepas dakwaan itu tular dalam laman media sosial.

“Mungkin mereka men­dapat maklumat ha­sil perkongsian pe­ngamal-pengamal peru­batan tradisional dalam Facebook dan YouTube mengenai ‘khasiat’ hem­pedu arnab yang didakwa mujarab bagi pasangan mandul dan sukar mendapat zuriat.

“Sejak tiga tahun lalu, secara purata, 30 set hempedu arnab yang dijual bersama hati haiwan itu terjual sebulan. Satu set dijual dengan harga RM5.

“Kebanyakan pelanggan saya dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah sehingga ada sejauh Terengganu datang ke ladang.

“Saya hanya menjualnya di ladang dan tidak melalui kurier bagi menjamin kesegarannya dan tidak mudah rosak,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Lampam di sini semalam.

Saiz hempedu ar­nab seakan-akan pacat itu kira-kira empat sentimeter dengan berat lima gram dan rasanya pahit dan kelat apabila dimakan mentah-mentah.

Majoriti pembelinya ialah pasangan kaum Melayu dan India.

Mengulas lanjut, Nur Hidayah berkata, tiada penyelidikan secara saintifik atau perubatan moden yang dapat membuktikan keberkesanan hempedu arnab membolehkan pasangan mandul mendapat zuriat.

“Mungkin kerana arnab ini spesies haiwan yang membiak dengan banyak. Sekali beranak sehingga lapan, sepuluh ekor menyebabkan ramai pasangan suami isteri yang mencubanya.

“Ia boleh dimakan secara mentah atau disulam buah pisang. Selain itu, ada individu yang memakannya dengan memecahkan hempedu itu sebelum dicampur bersama madu atau air didihan beras,” katanya.

Hempedu arnab jantan sesuai dimakan oleh lelaki sementara hempedu arnab betina bagi wanita. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×