UMK sinonim universiti keusahawanan

UMK sinonim universiti keusahawanan

PENEKANAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ialah menerapkan ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar tanpa mengira disiplin ilmu dan bidang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tak kenal maka tak cinta…”. Itu ungkapan indah yang menjadi sebutan ramai sejak berabad lamanya dahulu. Sekilas kiasan ini ingin dikaitkan dengan peranan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang sememang sejak kelahirannya disinonimkan sebagai sebuah universiti keusahawanan.

Kemajuan yang dicapai UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan ketika ini selari dengan penekanan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyusuli sasaran menteri terdahulu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, iaitu antara lain memfokuskan ke arah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Penekanan UMK ialah menerapkan ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar tanpa mengira disiplin ilmu dan bidang. Pendekatan atau kaedah yang digunapakai oleh UMK merangkumi silibus (subjek wajib), ekosistem keusahawanan, menganjurkan seminar dan bengkel keusahawanan serta menemukan pelajar-pelajar dengan tokoh-tokoh yang berjaya dalam bidang keusahawanan.

Ertinya, pembelajaran mengenai keusahawanan disampaikan melalui kuliah secara formal, pendedahan dengan mereka yang telah berjaya serta menimba pengetahuan melalui bengkel dan seminar yang dianjurkan bersama dengan institusi-institusi tertentu seperti bank-bank atau agensi-agensi berkaitan pembangunan keusahawanan kerajaan.

Pembelajaran di dalam kuliah diperoleh secara teori dan akademik. Manakala pendedahan dengan pihak luar yang berkaitan, memberi peluang kepada para pelajar memahami perkembangan semasa dalam bidang keusahawanan termasuk hal-hal yang relevan mengikut keperluan semasa.

Kaedah dan pendekatan ini dapat menyediakan pelajar-pelajar untuk menyesuaikan diri dengan ilmu keusahawanan secara ilmiah, di samping mendapat pendedahan daripada mereka yang sudah mencipta kejayaan. Hal ini boleh membantu melonjakkan semangat dan keyakinan pelajar-pelajar untuk menerokai bidang keusahawanan dan seterusnya membina kejayaan tersendiri.

Ramai yang sudah ‘kenal dan cinta’ dengan konsep UMK ini, terus mengambil peluang menjayakan diri dalam bidang keusahawanan. Data Syarikat Siswa Universiti (SSU), sehingga Jun 2023 merekodkan sebanyak 2,848 usahawan pelajar dan 1,311 syarikat siswa universiti telah mendaftar. Statistik ini memberi petunjuk yang baik kepada penerapan ilmu dan aktiviti keusahawanan di peringkat akar umbi.

Cuma, menjadi cabaran kepada Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) menerusi Pusat Pendidikan Keusahawanan (CEED) dalam menentukan keabsahan SSU ini beroperasi secara aktif atau sebaliknya.

Justeru, melalui pelan tindakan dan inisiatif CEED menerusi kerangka Road To Icon (RTI) secara berterusan membuktikan bahawa UMK mampu mencapai sasaran peratusan bilangan usahawan pelajar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan cemerlang dan telus.

Melalui inisiatif membina usahawan IKON, seramai 40 usahawan dalam kalangan mahasiswa yang berjaya memperolehi hasil jualan yang baik, berada pada kedudukan lestari serta berupaya menempa nama dengan meraih pelbagai anugerah dan kejayaan melalui sama ada pertandingan atau aktiviti keusahawanan dalam pelbagai peringkat terpilih.

Pihak UMKEI dan CEED yang menjadi peneraju kepada aktiviti keusahawanan unversiti menyediakan pelbagai bentuk sokongan dan galakan dalam memastikan misi UMK tercapai.

Antara bentuk sokongan yang disediakan ialah kemudahan pembiayaan modal sebagai menyokong aktiviti syarikat pemula. Pihak UMKEI juga turut menyediakan ruang niaga yang kondusif dan kiosk perniagaan di setiap kampus bagi memudahkan pelajar menjalankan aktiviti perniagaan.

Selain daripada itu, bentuk sokongan perniagaan seperti bimbingan latihan, tunjuk ajar dan pemantauan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran fungsian dalam kalangan usahawan pelajar.

Ramai yang sudah membuktikan kejayaan sebagai Usahawan Pelajar UMK. Ada yang menjalankan perniagaan berasaskan kulinari, rekaan fesyen pakaian, pelbagai perkhidmatan termasuk kesihatan dan komputer, kedai minuman kopi dan lain-lain.

Lebih membanggakan, terdapat syarikat-syarikat kendalian pelajar berjaya meraih keuntungan sehingga enam angka dalam tempoh setahun jualan.

Misalnya, seorang pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan), Zulhakeem Haiqal Zulkifli membuka perniagaan kopi dan makanan barat telah merekodkan jualan tahunan sekitar RM300,000 setahun. Pengusaha yang menamakan syarikatnya sebagai Syarikat Sekut & Kopi itu berpegang pada prinsip perniagaan adalah sesuatu yang perlu dibina dengan semangat dan keazaman yang kuat.

Beliau merancang untuk membuka cawangan kedua di Kota Bharu, Kelantan selain bercadang mempelbagaikan lagi jenis-jenis makanan barat.

Seorang lagi pelajar yang berjaya meraih keuntungan enam angka dalam tempoh setahun jualan ialah Syed Muhammd Hafiz Seeni Mohamed, pelajar jurusan Bioindustri Teknologi, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi.

Pelajar ini mengendalikan penjualan makanan mee sotong segera berperisa dengan menamakan syarikatnya sebagai Seeni Food And Beverage Sdn. Bhd. Kini syarikatnya telah berjaya mengkomersialkan mi cawan segera dengan pelbagai perisa ke seluruh dunia.

Sepanjang tempoh dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, Seeni F&B menginovasikan Seeni Mee Sotong dengan jolokan edisi istimewa untuk generasi baharu mencapai rekod jualan tahunan sekitar RM120,000 setahun.

Nyatalah, di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan. Dan, ‘kemahuan’ perlu diselarikan dengan pemilikan ilmu serta usaha yang tidak mengenal jemu. Berkat pertolongan Tuhan, kejayaan menunggu di hujung impian.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK) .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×