Dua rakyat Malaysia di Guantanamo bakal dibawa pulang

Dua rakyat Malaysia ditahan di kem tahanan Taluk Guantanamo bakal dibawa pulang

Mohammed Farik Amin, (kairi) dan Mohammed Nazir Lep.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh Amerika Syarikat dalam kem tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba akan dibawa pulang selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pengeboman Bali pada 2002.

Kejadian itu mengorbankan lebih 200 orang.

Selepas pengakuan bersalah itu, mahkamah akan menjatuhkan hukuman ming­gu hadapan dan mereka dijangka dibenarkan menjalani hukuman di Malaysia.

Terdahulu, Mohammed Nazir Lep, 47, dan Mohammed Farik Amin, 48, tiba di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo dalam perbicaraan disiarkan melalui pautan video.

MOHAMMED FARIK AMIN

Lapor Al Jazeera, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mengaku bersalah atas lima daripada sembilan pertuduhan.

Ia merupakan kali pertama kedua-dua individu itu membuat pengakuan sejak ditahan di kem tahanan itu kira-kira 18 tahun lalu.

MOHAMMED NAZIR LEP

Kedua-duanya ditahan di Teluk Guantanamo sejak tahun 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

Berdasarkan laporan The New York Times, pertuduhan berkaitan serangan ke atas Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang mengorbankan 11 orang, digugurkan sebagai sebahagian perjanjian pengakuan.

Dalam pengakuan itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju memberi keterangan terhadap Hambali yang didakwa merupakan dalang insiden berkenaan.

Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dituduh sebagai rakan sejenayah Hambali dan didakwa bersamanya namun kes mereka diasingkan pada tahun lalu.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu akan dijatuhkan hukuman minggu depan dan mereka dijangka dibawa pulang ke tanah air.

Hambali yang disifatkan oleh bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai salah seorang pengganas paling berbahaya di dunia, masih akan dibicarakan.

Insiden pengeboman Bali pada Oktober 2002 adalah yang terburuk dalam sejarah Indonesia dan membawa kepada tindakan keras terhadap kumpulan seperti Jemaah Islamiah (JI) dan pengukuhan operas memerangi keganasan Jakarta.

Tiga daripada penjenayah utama insiden pengeboman itu dijatuhkan hukuman mati dan dilaksanakan pada 2008.

Individu keempat, Ali Imron dihukum penjara seumur hidup selepas memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas apa yang dilakukannya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×