Tiada usul undi tidak percaya terhadap PM

Tiada usul undi tidak percaya terhadap PM di sidang Dewan Rakyat Februari ini

PN hanya berani belakang sahaja dalam misi menjatuhkan kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dihantar Perikatan Nasional (PN) ke Dewan Rakyat setakat semalam.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, seorang ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak mahu dinamakan berkata, ini kerana parti itu tahu usaha tersebut hanya sia-sia kerana mengakui tidak mempunyai bilangan yang cukup untuk menukar Perdana Menteri.

Menurut beliau, semua usaha untuk mengubah kepemimpinan hari ini termasuk melibatkan beberapa ahli parlimen UMNO hanya berani di belakang sahaja, namun gentar untuk membuat sebarang tindakan.

Berikutan itu, ahli parlimen tersebut berkata, sebarang usaha yang digerakkan setakat hari ini tidak akan membuahkan hasil apatah lagi untuk mengambil alih kerajaan daripada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memang tidak ada yang menghantar usul undi tidak percaya ke Parlimen, memang tidak ada. Untuk Bersatu, saya berani mengesahkan untuk waktu dan ketika ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

USUL

Terdahulu, Anwar mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya di Parlimen jika mahu menumbangkan kerajaan.

Jelas Anwar, Kerajaan Perpaduan sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat, namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu.

Mengulas lanjut, ahli parlimen tersebut bagaimanapun turut berkata, jika terdapat sebarang arahan daripada kepemimpinan parti supaya menghantar usul undi tidak percaya, beliau akan akur dengan arahan tersebut dan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama selama 19 hari bermula pada 26 Februari hingga 27 Mac.

Semakan di Portal Rasmi Parlimen Malaysia menunjukkan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 akan bermula pada 26 Februari dengan Titah Diraja sempena istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja akan menyusul keesokannya manakala mulai 11 sehingga 14 Mac penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan.

Mulai 18 hingga 27 Mac adalah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan di mana Dewan Rakyat akan bersidang serentak dengan Dewan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×