SERDANG: Rakyat perlu menguasai teknologi dan bidang kecerdasan buatan (AI) dalam usaha membantu kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya untuk menjadi 30 negara ekonomi terbesar dunia jika tidak menguasai AI.
Justeru, Perdana Menteri menegaskan, AI adalah teknologi dan bidang baharu yang perlu dikuasai bermula sekarang sejajar perkembangan semasa bagi mengharungi perubahan pada masa akan datang.
“Malaysia tidak boleh terlambat dan terlalu perlahan untuk menguasai AI kerana perkara itu menyebabkan rakyat akan terus ketinggalan.
“Kerajaan mengorak langkah awal dengan melancarkan program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang merupakan satu pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap bidang itu,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.
Menerusi program itu, kerajaan menyasarkan sejuta rakyat akan mengikuti program Literasi Kecerdasan Buatan (AI) selama empat jam hingga hujung tahun ini.
Susulan itu, kata Anwar, semua ketua setiausaha kementerian dan naib canselor universiti diminta untuk menghantar laporan berhubung penglibatan penjawat awam dan pelajar dalam program tersebut.
“AI perlu dikuasai sekarang dan mesti diterima kelajuan perubahan yang memaksa kita cepat menangkapnya (menguasai AI).
“Jadi, jika diperkenalkan hari ini, kalau ambil tempoh tiga bulan untuk pihak sekolah memikirkan dan merencanakan, maka enam bulan diminta para pelajar mengikuti program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat, maka kita ketinggalan satu tahun.
“Jadi, kita tiada waktu. Maka naib canselor yang ada di sini, saya harap universiti lain dan Kementerian Pendidian Tinggi untuk pastikan semua pelajar tanpa terkecuali terutamanya di universiti mesti ikuti program ini,” katanya.
Jelas Anwar, kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik Al.
“Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik Al,” katanya.
AI untuk rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.
Ia mudah diakses dan menarik untuk rakyat dari pelbagai kumpulan umur, latar belakang dan lokasi geografi di seluruh negara. – UTUSAN










