Lambakan songket India di Pasar Kedai Payang

Lambakan songket India di Pasar Kedai Payang

BURHAN Hanafiah menunjukkan songket asli Terengganu yang dijual di premisnya di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasar Kedai Payang di sini yang popular dalam kalangan pelancong kini menjadi pusat lambakan songket dari India setelah dibawa masuk secara besar-besaran di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan songket itu yang juga dikenali ‘songket mesin’ menggunakan benang dan kain kurang berkualiti berbanding songket asli Terengganu dengan corak disulam kemas dan menarik menggunakan tenunan tangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga songket asli, Burhan Hanafiah, 28, berkata, kira-kira 95 peratus daripada 400 peniaga di Pasar Kedai Payang menjual songket itu.

Katanya, limpahan songket itu menyebabkan terdapat dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke pasar ini tidak dapat membezakan antara kedua-dua jenis songket itu.

“Jualan songket tiruan yang semakin berleluasa di Pasar Kedai Payang juga menjejaskan pendapatan peniaga songket asli apabila sambutan diterima semakin merosot,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada masa sama, Burhan berkata, dia bimbang sekiranya lambakan songket India itu boleh membunuh industri negara yang berusia lebih 500 tahun ini.

“Ini kerana, terdapat segelintir penenun songket tradisional di Terengganu tidak berminat meneruskan kerjaya tersebut kerana jumlah tempahan yang diterima semakin berkurangan akibat persaingan songket tiruan,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Amirul Roslan, 31, kebanyakan songket India dijual dengan harga lebih murah antara RM100 hingga RM250 sehelai berbanding songket asli dijual pada harga RM300 hingga RM2,500 sehelai.

“Hasil jualan songket asli Terengganu semakin merosot termasuk pada musim perayaan lalu apabila dapat dijual tidak sampai 100 helai berbanding sebelum pandemik Covid-19 pada tahun 2020 lalu apabila dapat dijual sehingga 500 helai,” ujarnya.

Tambahnya, songket asli yang ditenun penduduk diusahakan secara tradisional di beberapa kampung seperti Gong Tok Nasek, Pasir Panjang, Kepong dan Losong.

Sementara itu, seorang pembantu kedai mahu dikenali Nida, 30, berkata, pelanggan memilih songket India kerana mahu berjimat memandangan kos sara hidup semakin tinggi.

“Songket itu juga mempunyai corak yang menarik cuma kualitinya tidak boleh menandingi songket asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×