Pimpin anak pilih kerjaya masa depan bersifat ekonomik

Pimpin anak pilih kerjaya masa depan bersifat ekonomik

IBU bapa perlu memberi sokongan kepada anak-anak sekiranya mereka berminat mendalami ilmu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memandangkan sektor ini membawa pulangan yang lumayan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Anwar Ibrahim semasa sesi Bual Bicara Komuniti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ketika Program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang di Bertam, tahun lepas mahu persepsi kononnya jurusan TVET lebih rendah kategorinya berbanding lulusan diploma dan universiti diubah.

Menurut Perdana Menteri, persepsi sebegitu masih wujud sehinggakan pelajar menjadi tidak bersemangat ketika meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut meskipun jumlah pelajar yang mengikuti jurusan berkenaan ramai ketika ini.
Jelas beliau, persepsi sebegitu perlu diperbetulkan selari dengan penekanan negara ketika ini yang melangkah ke arah teknologi digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang memerlukan kepakaran daripada jurusan TVET.

Apa yang menjadi isu yang membelenggu pemikiran anak-anak kita, adakah selepas habis sekolah mereka hendak belajar di dalam bidang TVET atau melanjutkan pengajian tinggi untuk mendalami ilmu profesional.
Kita bukan berada di zaman filem Ibu Mentuaku yang mana jawatan peguam dan majistret menjadi idola bakal ibu dan bapa mentua pada zaman tersebut.

Pada era drama Megah Holding hari ini, imej korporat dikaitkan dengan kekayaan dan kemewahan maka ramailah orang muda ingin menuntut dalam bidang perniagaan dari peringkat diploma hingga sarjana perniagaan (MBA).
Adakah pendidikan berasaskan disiplin ilmu seperti undang-undang, perakaunan, senibina, kejuruteraan dan lain-lain kekal relevan untuk melahirkan pekerja dengan gaji di atas gaji minimum, RM1,500 ketika berada di zaman teknologi kecerdasan buatan (AI)?

Hari ini netizen belajar pelbagai ilmu daripada memasak, kemahiran hidup seperti McGyver, belajar membina badan dan agama Islam di media sosial.

Hinggakan satu tahap wujud istilah chef viral, ustaz viral dan pempengaruh dalam dunia maya hari ini.

Impak kepada pendidikan dunia nyata dan dunia maya ini mewujudkan generasi lama dan baharu yang melihat tiada bezanya ilmu daripada sumber fizikal dan maya.

Sebagai bapa, saya pernah bimbang anak semasa berusia 15 tahun berkata dia bercita-cita hendak menjadi seorang gamer atau pemain video komputer profesional.

Lebih membimbangkan apabila dia mengatakan kerjaya gamer boleh memperoleh gaji berpuluh ribu maka tidak perlu belajar bidang profesional dan TVET.

Namun setelah dia semakin matang dan boleh berfikir secara rasional dan menganggap menjadi gamer sebagai kerjaya bersifat sementara, kini dia menceburi bidang kemahiran kulinari.

EKONOMI DIRI
Sewajarnya ibu bapa menjadi penyuluh kepada hala tuju anak-anak untuk membina ekonomi diri agar tidak dipandang lekeh dan tidak dihormati pada masa depan.

Sebenarnya jika kita menghayati ajaran Islam, setiap insan dilahirkan dengan ketetapan rezeki, ajal dan jodoh sejak azali.

Maka carilah kaedah bagaimana menjadikan apa saja kemahiran hidup daripada bidang TVET, kolej, universiti mahu pun sekolah pondok untuk menuai wang bagi menjalani kehidupan penuh cabaran ini.

Setiap anak yang dilahirkan memiliki kecenderungan berlainan dan ibu bapa yang perlu memberi motivasi kepada anak sama ada mereka perlu belajar TVET atau menjadi peguam yang berpendapatan tinggi dengan skil profesional yang dipelajari di Fakulti Undang-Undang.

Ibu bapa juga sewajarnya mendidik nilai integriti dalam diri anak-anak agar mereka mampu menjadi seorang pencari rezeki yang halal dan toyyiban.

Nilai integriti ini perlu bagi memastikan pendidikan sejak dari buaian hingga ke liang lahad dilakukan dengan amanah dan mengikut pembelajaran serta pengajaran yang sebenar di pusat pendidikan bukan ada unsur rasuah dan menyeleweng.

Masalah integriti juga boleh memberi kesan kepada kualiti kerja seseorang hingga menyebabkan satu hari nanti kerja yang menjadi tanggungjawab hakiki menjadi wadah untuk melakukan perkara yang dilarang agama Islam dan undang-undang.

Sebaiknya anak kita bukan sahaja dididik untuk mencari makan dengan halal tetapi dilengkapi dengan ilmu agama sebagai antivirus kepada perkara selain kerjaya yang merosakkan ekonomi dan institusi masyarakat seperti keluarga dan komuniti.

Pada saat ini anak-anak kita sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan ia adalah ujian yang penting sebelum mereka melangkah ke alam universiti untuk belajar ilmu yang menjana wang sebagai modal kehidupan.
Anak-anak ini perlu diberi perhatian dan bimbingan sewajarnya dalam hidup, kerana bila umur berganjak 18 tahun mereka akan dibenarkan mengundi pada pilihan raya.

Mereka perlu difahamkan, tanggungjawab sebagai pengundi bukan sekadar memilih wakil rakyat tetapi memilih kerajaan yang mampu menyediakan makanan di atas meja untuk rakyat.

Betapa penting peranan ibu bapa di dalam sistem masyarakat dan kitaran ekonomi itu sendiri terhadap masa depan kerjaya anak mereka.

Apa sahaja bidang kemahiran TVET seperti menjadi juruelektrik, jurukimpal dalam air, pembantu teknik, pendandan rambut mahupun mekanik kereta elektrik semuanya mampu mencetak wang lebih empat angka sebulan.

Pada masa muda inilah ilmu TVET dipelajari bersama kemahiran diri (soft skill) yang lain seperti bidang keusahawanan dan pelaburan hartanah.

Kesemua bidang iaitu TVET mahu pun pendidikan profesional jika digabung dengan kemahiran sebagai usahawan pasti mampu membentuk generasi muda yang bukan sahaja menjadi pekerja tetapi juga seorang majikan.

Ibu bapa juga perlu belajar dan peka dengan tuntutan zaman AI yang mana informasi perlu dipilih dengan bijak sebelum disalurkan kepada anak-anak dalam bentuk nasihat.

Semua ibu bapa juga perlu melupakan hakikat mereka tahu semua perkara, kerana ada ilmu teknologi yang anak kita walaupun baru tujuh tahun sudah mahir dan menguasainya.

Era ini semua sumber ilmu perlu digembleng bagi memastikan anak kita mempunyai nilai tambah di dalam dirinya.

Lebih cantik kalau dalam diri seorang profesional mampu menjadi jurutera, arkitek, peguam yang huffaz.

Namun semua ini terpulang kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak sekadar untuk mencari dunia atau akhirat sekali gus dalam pekerjaan mereka mencari rezeki yang telah tertulis sejak di Luh Mahfuz. Insya-Allah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×