SUNGGUH sayu dan pilu melihat perwatakan warga Malaysia, bila dah sesak nafas baru hendak tercari di mana tabung simpanan. Makin ramai rakyat Malaysia yang hilang hala tuju selepas bersara. Malah ramai juga yang mula mengemis di usia muda.
Alangkah sedihnya mendengar berita-berita yang rakyat kita masih mengemis dan berada di bawah paras kemiskinan. Apakah kita hilang pedoman atau adakah kita sendiri yang mencari jalan yang tiada pangkal?
Malaysia digelar ‘emas dunia’ ekoran kekayaan pelbagai sumber asli dan rezeki tetapi masih ramai yang menganggur dengan kadar pengangguran masih berada pada tiga peratus dan ke atas. Adakah situasi ini wujud disebabkan oleh pasaran buruh yang lembab atau kita yang memilih untuk tidak bekerja dan tersangat memilih kerja?
Sebenarnya, apabila menerima pendapatan hasil usaha kita bekerja, pastilah akan rasa berpuas hati. Usaha yang kita lakukan untuk menongkah alam pendidikan untuk menghidu segulung ijazah, terbayar bila melihat angka gaji di akaun bank. Kegembiraan dan nikmat itu tidak dapat diungkapkan dalam serangkap pantun.
DOMPET KOSONG
Namun situasi yang berlaku selepas seminggu hari bergaji amat menyedihkan. Tangan mengorek dompet yang dipenuhi dengan resit pengeluaran wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan resit bayaran. Ada yang langsung kosong dan hanya dipenuhi dengan kad-kad kredit dan debit yang tidak bernyawa. Situasi ini telah membawa ke satu fenomena baharu di negara ini yang dinobatkan sebagai warga muflis.
PAHIT DITELAN
Sebenarnya pahit untuk ditelan, tentang data bankrupsi negara. Hampir 60 peratus mereka yang tersenarai dalam statistik kebankrapan di Jabatan Insolvensi adalah mereka yang berumur 45 tahun ke bawah. Alangkah sedihnya remaja dan belia negara kita gagal untuk mentadbir dan mengurus aliran wang dengan bijak dan terurus.
Suatu situasi yang dianggap lebih kritikal ialah warga tua. Ramai yang hilang punca pendapatan setelah bersara dan ramai juga yang hilang simpanan hari tua.
Hidup tanpa sebarang sumber kewangan untuk menyara hidup merupakan suatu yang tidak masuk akal dalam era perindustrian 4.0. (IR4.0). Sampai bila ingin menadah tangan pada anak-anak?
Ke mana kita hendak lontarkan kesilapan pengurusan kewangan? Bagaimana kita hendak suburkan amalan kewangan yang bersistematik terutamanya amalan menabung, bukan hanya pada si comel di prasekolah malahan kepada Wak Ismail, Nyonya Siew Lim dan Uncle Thanga juga perlu dipimpin tentang amalan menabung.
Ramai yang beranggapan simpanan itu mesti dalam bentuk wang, emas atau pelaburan sahaja. Sebenarnya, simpanan boleh berbentuk sekeping surat khabar lama, majalah yang basah kuyup, risalah pemasaran pasar raya, botol minuman, tin aluminium, bekas biskut raya dan banyak lagi. Simpanan ini boleh ditukarkan dalam bentuk nilai yang boleh menambah tabungan. Ia mungkin nampak seakan remeh namun bila diamalkan secara berdisiplin mampu mengubati tangan-tangan yang terdesak mencari sumber wang ketika kecemasan.
Generasi muda perlu diasuh dan dipimpin untuk menabung. Tabungan itu mestilah datangnya daripada usaha mereka sendiri. Buka jalan dan tunjuk ajar cara menabung dan kaedah untuk menyimpan hasil tabungan. Bagaimanakah caranya?
10 PERATUS
Wang saku yang diberikan kepada mereka walaupun nilainya kecil, ajar mereka menyimpan 10 peratus daripadanya. Sediakan tabung yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Bila tabungnya penuh, bawa mereka ke bank pilihan. Buka akaun, biar mereka dapat melihat sendiri dengan mata kasar jumlah tabungan yang disimpan dalam sesuatu tempoh. Sesuatu yang dijadikan rutin akan menjadi amalan. Amalan yang baik merupakan ibadah.
Bank Negara boleh memainkan peranan dalam usaha menggalakkan tabungan dalam kalangan anak-anak muda. Buku simpanan wang boleh diwujudkan semula khas buat mereka yang berumur 5 hingga 18 tahun. Cetakan angka simpanan dalam buku simpanan wang boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak muda.
Walaupun kita berada di era pendigitalan, tetapi jangan kita lupa tradisi simpanan yang kita lalui sebelum ini. Sudah pasti cara ini akan menjadi satu lonjakan paradigma dalam minda anak watan Madani.
Kelab simpanan atau tabungan harus diberi nafas baharu di semua institusi pendidikan. Bermula dari prasekolah, taska, tabika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej tingkatan enam, kolej vokasional, kolej matrikulasi, kolej kemahiran, politeknik, institut kemahiran belia, pusat asasi sehinggalah universiti awam dan swasta.
Perbanyakkan aktiviti berunsur kewangan dan didik mereka dengan amalan pengurusan kewangan yang betul. Pelajar lebih suka mendekati guru-guru atau pensyarah daripada ibu bapa. Jadi, menjadi tanggungjawab bersama pendidik dalam mendidik anak bangsa yang berilmu dalam kewangan.
KAD STEM
Masih terbayang usaha dan idea Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyediakan buku simpanan yang perlu diisi dengan stem. Keseronokan dan budaya berlumba-lumba untuk memenuhi ruang-ruang dalam kad simpanan pasti berlegar di minda kita. Alangkah manfaatnya, jika kita dapat menyuburkan budaya ini kepada semua rakyat Malaysia. Simpanan kecil, mampu merubah detik cemas.
WARGA TUA
Bantu dan pimpinlah ibu dan ayah yang mempunyai simpanan hari tua. Jangan biarkan mereka berdua tanpa bertanya sebarang khabar. Peruntukkan sedikit masa untuk mereka. Bawa mereka ke bank, tabung haji atau pejabat pos untuk menguruskan simpanan mereka.
Ini kerana mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan apabila melihat warga emas menguruskan wang tanpa sebarang panduan. Mata-mata gelap sentiasa menunggu peluang untuk ‘merampas’ kesemua harta pencarian orang tua kita dalam sekelip mata. Siapakah yang rugi dan merana nanti?
Gaji yang diraih dengan segala usaha harus diuruskan dengan bijak. Jika tidak pandai menguruskan gaji, dapatkan nasihat daripada pakar kewangan terutamanya daripada pegawai-pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara percuma. Jika gaji dapat diuruskan dengan baik, sudah tentu kita dapat meminumkan bilangan rakyat Malaysia yang dikategorikan muflis.
Biar gaji penuh, dompet pun penuh.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang.










