SHAH ALAM: Pembinaan penempatan haram warga asing di kawasan terpencil di Selangor bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri semata-mata sebaliknya semua pihak termasuk majikan perlu memainkan peranan tersebut.
Antara faktor pembinan rumah-rumah kongsi secara haram kerana sikap majikan yang tidak peduli untuk menyediakan kediaman pekerja mereka selain membiarkan pekerja yang sudah tamat kontrak atau permit pekerjaan begitu sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, sebahagian penyelesaian isu penempatan haram berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri terutama dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga terlibat. Sebenarnya di bandar-bandar tak banyak, kalau pergi di luar, mereka sanggup duduk di dalam hutan, ladang kelapa sawit, maknanya wujud rumah-rumah kongsi yang mungkin menyebabkan mereka berjudi di situ.
“Mereka juga ada kelompok. Bahayanya jika berlaku rompakan atau jenayah, mereka lari dan kita tak boleh kesan. Jadi, itu pun kita kena berikan perhatian. Setakat ini di Selangor, Alhamdulillah sebab kita tiada lagi (setinggan) cuma ada sedikit yang sedang beri tumpuan,” katanya.
Beliau berkata, penempatan haram yang dibangunkan di atas tanah atau mana-mana individu, syarikat atau pihak terlibat adalah melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN).
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang obligasi perundangan untuk memberi sebarang ganti rugi kepada penceroboh.
“Bagaimanapun, isu penempatan haram yang dibangunkan atas tanah hak milik perlu diteliti dengan lebih terperinci,” jelasnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Selangor menjadi tumpuan warga asing menjadikan negeri ini sebagai ‘kampung halaman’ sendiri apabila wujud perkampungan haram dipercayai sudah didiami sejak 30 tahun.
Dengan bayaran sewa serendah RM50, kewujudan penempatan tersebut didakwa menjadi tempat perlindungan warga asing daripada dikesan pihak berkuasa kerana kebanyakan penduduknya dikesan tiada permit pekerjaan, pasport tamat tempoh dan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Selain isu penempatan haram, Borhan memaklumkan pihaknya sedang mengesan pemilik-pemilik rumah di bawah harga kawalan yang membenarkan kediaman mereka didiami warga asing.
Menurutnya, perkara tersebut dikesan berlaku terutama di apartment kos rendah sedangkan kemudahan tersebut sepatutnya dinikmati oleh warganegara.
“Kalau di Selangor, kita lihat lebih kepada warga asing menyewa di apartmen kos rendah. Ada pemilik yang sewakan kepada warga asing, itu kita sedang buat penguatkuasaan ke rumah-rumah yang disewakan kepada warga asing khususnya bagi rumah di bawah harga kawalan.
“Memang kita buat penguatkuasaan bersama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen,” katanya.- UTUSAN










