PETALING JAYA: Hanya beberapa jam dibuka, sebuah pusat hiburan atau ‘pub’ diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Pintas di kawasan Simpang Ampat, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Difahamkan serbuan dijalankan ketika hari ‘pembukaan’ pusat hiburan tersebut yang didapati tidak mempunyai lesen perniagaan selain menyasarkan pelanggan warga asing terutamanya Myanmar.
Operasi kira-kira 12.10 tengah malam itu yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyelamatkan seorang remaja perempuan Myanmar dipercayai menjadi buruh paksa.
Katanya, fokus operasi adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan seramai 52 individu atas pelbagai kesalahan.
“Dalam serbuan yang sama, seorang mangsa pemerdagangan orang yang disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan.
“Mangsa merupakan warga Myanmar berusia 17 tahun itu diselamatkan di bawah Seksyen 44(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, turut ditahan seorang lelaki Myanmar dipercayai berperanan sebagai majikan mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta pemilik premis tempatan berusia 29 tahun yang disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, jelas beliau, seramai 40 warga Myanmar termasuk 15 wanita berusia 19 hingga 41 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seramai 10 lagi individu warga sama termasuk lima wanita berusia 20 hingga 40 tahun ditahan mengikut Per. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 dan Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen,” jelasnya. – UTUSAN










