MUKADIMAH
TERPILIH memegang salah satu tampuk kepimpinan semestinya menggalas tanggungjawab berat dalam sesebuah parti politik.
Apatah lagi sebagai sebuah parti yang mempunyai imej dan cerminan Islam dengan pembentukan satu pasukan baharu untuk penggal 2023-2026.
Wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) DATUK MAHFUZ OMAR bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto FAUZI BAHARUDIN dan jurukamera ZUID SAMSON.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana datuk melihat pelantikan sebagai Naib Presiden Amanah?
MAHFUZ: Pada saya ia sangat mencabar kerana jawatan itu saya kena pikul dalam keadaan saya bukan ahli Parlimen. Akan tetapi saya yakin Amanah mampu melonjak lebih jauh bersama barisan kepimpinan lain.
Tambahan pula dalam kadar Amanah yang masih muda selepas penubuhan sejak 2015 dan selepas lebih setahun kita menghadapi PRU15.
Malah kita berjaya memposisikan diri dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan. Ini satu kejayaan yang membanggakan. Saya yakin apa yang dibawa Amanah ini akan lebih baik pada masa akan datang.
Ini penggal terakhir bagi Mohamad Sabu sebagai Presiden Amanah. Adakah pelantikan presiden baharu nanti akan menyebabkan rentak dan strategi Amanah terganggu bagi menghadapi PRU16?
Sudah pasti kita perlu buat persediaan daripada sekarang tanpa melihat siapapun presiden. Tokoh yang memegang tampuk kepemimpinan bukanlah indikator.
Apa yang menjadi petunjuk adalah bagaimana kita merancang daripada sekarang. Sebab itu konvensyen baru-baru ini antara intipatinya untuk menentukan hala tuju masa depan.
Jadi, perlu ada perancangan jangka panjang dan pendek demi matlamat mencapai kejayaan dalam pilihan raya.
Kita mahu memposisikan parti untuk berada paling baik. Ini saya yakin menerusi perancangan akan dapat dilakukan sebagai mana kita lakukan sebelum ini.
Datuk sebagai Pengerusi PH Kedah dan Naib Presiden Amanah. Adakah ia satu tanggungjawab berat?
Ia sebenarnya motivasi untuk saya bekerja lebih kuat. Namun ditentukan dengan cara bagaimana kita merancang dan bagaimana kita mendekati serta membuat sentuhan kepada masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Sebab itu, kita tidak boleh mengikut rentak yang dibawa pelbagai pihak khususnya pembangkang hari ini .
Dengan strategi mereka (Pas) yang berunsur garis keras, saya fikir ia antara isu yang sangat perlu difahami pemimpin Amanah dan ahli.
Inilah cabaran besar. Mereka menggunakan elemen agama dan bangsa. Jadi, kita perlu pisahkan diri kita daripada garis keras ini kerana ia sangat berbahaya dan mengundang kepada perbalahan yang tidak berkesudahan.
Datuk sebagai Pengerusi PH Kedah dilihat tidak garang dan kurang menonjol. Komen Datuk?
Kadang-kadang politik berubah dan tidak boleh berbangga dengan politik masa lalu. Dulu memang kena tunjukkan siapa hero.
Akan tetapi sekarang saya berada dalam kerajaan, jadi tidak boleh tunjuk sikap keterlaluan sehingga hilangnya watak sebagai pemimpin daripada parti kerajaan yang bertanggungjawab menyatu padukan semua masyarakat dan rakyat. Lagipun, politik hari ini alah politik berasaskan pengetahuan asas dan daya kepimpinan serta perancangan masa depan.
UMNO dilihat lebih menonjol berbanding Amanah bagi menarik pengundi Melayu. Bagaimana mahu mengatasi masalah ini?
Sebenarnya tidak masalah. Apabila duduk dalam satu gabungan kita akan bekerjasama. Sebagai contoh apabila duduk di Kedah ini kita ada Majlis Perpaduan. Jadi, saya dan Datuk Seri Mahdzir Khalid pengerusi bersama mempunyai struktur ampuh selain pelbagai program.
Ini yang sepatutnya dilaksanakan di semua peringkat. Maka, kita harus terus bersatu terutama berdepan dengan doktrin garis keras yang dibawakan oleh Pas.– Mingguan Malaysia










