OPR dijangka kekal 3.0 peratus – Penganalisis Ekonomi

OPR dijangka kekal 3.0 peratus – Penganalisis Ekonomi

BNM akan mengadakan mesyuarat dasar monetari pertamanya bagi 2024 pada 24 Januari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.0 peratus  menjelang mesyuarat dasar monetari pertamanya bagi 2024 pada 24 Januari ini, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, OPR kekal ekoran penurunan inflasi negara daripada 3.38 peratus pada 2022 kepada jangkaan 2.86 peratus pada 2023.

Katanya, ini turut didorong oleh langkah Amerika Syarikat (AS) yang dijangka mengekalkan Rizab Persekituan (Fed) se­kurang-kurangnya sepanjang suku pertama hingga kedua 2024.

“Memandangkan Fed mungkin akan turun pada suku ketiga dan keempat pada tahun ini, Malaysia juga dijangka akan menurunkan OPR disebabkan jangkaan penurunan berterusan inflasi kepada purata 2.67 peratus pada 2024.

“Selain itu, penurunan ini turut disokong dengan jangkaan penurunan kadar inflasi AS sekitar 2.30 peratus dan keseluruhan inflasi gobal sekitar 5.79 peratus pada tahun 2024.

“Langkah penurunan OPR negara dijangka akan meningkatkan keyakinan dan sokongan kepada Kerajaan Madani,” kata di sini semalam.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku inflasi susulan pelaksanaan subsidi bersasar, beliau berkata, inflasi dijangka kekal sederhana dan melandai di sebalik pelaksanaan subsidi bersasar minyak.

“Hal ini disebabkan pelaksanaan ini hanya melibatkan golongan T20 berbanding kumpulan terbanyak M40 dan B40.

“Subsidi bersasar juga dijangka dapat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan negara,” ujarnya.

Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, OPR mungkin tidak akan dinaikkan, susulan harga barang yang masih terkawal dan kadar inflasi yang masih rendah.

Katanya, peningkatan OPR akan menyusahkan rakyat terutama yang membuat pinjaman daripada bank seperti pinjaman perumahan dan mungkin mendorong kepada peningkatan harga barangan lain.

“Kadar faedah Fed dijangka kekal dan ini bermakna OPR akan juga kekal hingga akhir tahun ini,” ujarnya.

BNM mengekalkan OPR pada paras 3.0 peratus sejak Mei 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×