PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kanan Siasatannya, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum.
Menurutnya, SPRM tidak boleh mendedahkan butiran berkenaan kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.
“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini, SPRM memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Sanusi hadir ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 8.30 pagi semalam bagi memberi penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan sebuah persatuan bola sepak.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, keterangan Muhammad Sanusi akan diambil SPRM dalam masa terdekat.
Siasatan membabitkan kes rasuah ini dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak tersebut. – UTUSAN










