Tawaran am mandatori KUB sebelum jadi menteri

Tawaran am mandatori KUB sebelum jadi menteri

JOHARI Abdul Ghani melawat pameran selepas pelancaran Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chang Foong Hin (kiri); Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli (dua kanan) dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak sawit Malaysia, Datuk Dr. Ahmed Parveez Ghulam Kadir (kanan). – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tawaran am mandatori (MGO) JAG Capital Holdings Bhd. untuk KUB Malaysia Bhd. bukan disebabkan isu penilaian.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia sebaliknya kerana pengambilalihan sukarela JAC Capital ke atas KUB yang mencetus MGO syarikat itu.

“Kami mengumumkan sebelum ini untuk membeli Central Cables Bhd. (CCB). kerana terbitan saham, kami mencetuskan GO (tawaran am), jadi saya terpaksa melakukan GO (tawaran am).

“Saya tidak boleh membatalkannya. Jadi kita perlu meneruskan. Penasihat berkata, kita perlu melakukan pengambilalihan dan GO secara serentak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 di sini, semalam.

Beliau juga menegaskan, urus niaga itu telah diumum sebelum pelantikannya sebagai menteri.

“Kita perlu berlaku adil kepada para pemegang saham kerana mereka tahu kesan ke atas perjanjian itu sebelum pelantikan saya (sebagai Menteri Perlada­ngan dan Komoditi), jadi, kita perlu meneruskan langkah itu. Tidak lebih daripada itu,” katanya.

Tawaran am mandatori dicetus apabila ada pihak yang memiliki lebih daripada 33 peratus kepentingan dalam sesebuah syarikat.

Pada Selasa lalu, JAG dilaporkan menaikkan pegangannya dalam KUB kepada melebihi ambang 33 peratus yang mencetus MGO.

Bagaimanapun, JAG dilaporkan berkata, ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian KUB sekiranya memperoleh 90 peratus daripada semua saham KUB.

Semalam, media melaporkan, JAG Capital yang melancarkan pengambil alihan sukarela ke atas KUB Malaysia mencetus MGO syarikat itu.

JAG membeli 1.79 juta saham KUB dalam pasaran terbuka yang meningkatkan pegangan sahamnya dalam entiti tersenarai melebihi ambang 33 peratus yang mencetuskan MGO.

Tawaran pengambilalihan itu susulan cadangan yang akan menyaksikan suntikan 86.65 peratus kepentingan JAG dalam kabel dan pengeluar wayar Central Cables Bhd. (CCB) ke dalam KUB sebagai pertukaran untuk saham keutamaan KUB, dalam urus niaga bernilai RM119.42 juta.

Bagi pemerhati, tawaran pe­ngambilalihan JAG terhadap KUB adalah bersyarat kepada JAG dan pihak yang bertindak secara bersama bagi memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus kepentingan dalam KUB.

Menurut pemfailan oleh KUB, sekiranya nilai ambang tidak dipenuhi, JAG akan memulangkan saham KUB kepada mereka yang menerima tawaran itu, dan ia tidak lagi terikat dengan mana-mana penerimaan tawaran sebelumnya.

Dengan pemerolehan pasaran terbuka terkini, JAG kini memegang 185.19 juta saham KUB atau 33.28 peratus pegangan, meninggalkan 16.72 peratus lagi pegangan untuk diambil alih atau diambil untuk menjadikan tawaran itu tidak bersyarat menjelang tarikh tutupnya.

Selain JAG, pemegang saham utama KUB lain ialah Leasing Corp Sdn. Bhd. dengan 17.97 pera­tus kepentingan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×