Pembangkang masih dalam mindset tahun 2020

Pembangkang masih dalam mindset tahun 2020

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIDAK sampai sebulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet, negara digemparkan dengan Langkah Dubai dan ia disusuli dengan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Ia dilihat sebagai ujian terbesar buat Kerajaan Perpaduan terutamanya terhadap isu kestabilan politik dalam tempoh setahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Ujian tersebut bagaimanapun dihadapi dengan nada yang tenang oleh Menteri Komunikasi, FAHMI FADZIL semasa ditemu ramah wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN bersama jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH ketika lawatan kerja di pejabat Media Mulia.

UTUSAN :  Apa perancangan Kementerian Komunikasi bagi 2024?

Pertama, kita nak selesaikan isu 5G, jadi dalam masa terdekat insya-Allah kita akan ada pengumuman yang baik. Kedua, saya lihat isu industri media adalah satu perkara yang saya akan utamakan sama ada untuk wartawan sementara atau stringers yang kita sedang perjuangkan untuk mendapat manfaat yang lebih termasuk melalui skim-skim tambahan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimana YB (Yang Berhormat) melihat industri media negara ketika ini?

Ekosistem secara keseluruhan untuk industri media ini sangat penting bagi saya. Jadi antara yang kita akan rancakkan dari segi perbincangan ialah dialog antara beberapa media, beberapa platform media sosial seperti Meta, Google dan Tiktok serta bersama industri syarikat syarikat media.

Saya lihat itu cara terbaik untuk cari satu jalan penyelesaian, di mana advertising expenditures (perbelanjaan pengiklanan) sebelum ini banyak dibelanja terus kepada platform-platform media itu dan bukan lagi melalui syarikat media.

Ini mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat-syarikat media di Malaysia. Jadi saya hendak cuba promosikan ataupun cuba lipat gandakan usaha dalam perbincangan antara pihak-pihak ini.

Adakah platform media sosial sedia membantu syarikat media di negara ini?

Kalau kita lihat di negara-negara lain, kadangkala jalan buntu, tidak mencapai penyelesaian yang baik tetapi ada juga beberapa negara yang telah berjaya seperti Taiwan dan beberapa negara lain.

Harapan saya adalah langkah dialog ini, bukan Langkah Dubai ya, langkah dialog ini diharap lebih murni antara syarikat media dan juga platform platform media sosial.

LANGKAH DUBAI

Bercakap mengenai Langkah Dubai dan dakwaan cukup SD (akuan bersumpah), adakah ia boleh dipercayai?

Sekarang ini SD sudah tidak diguna pakai. Jadi, saya rasa mungkin mereka masih dalam mindset tahun 2020. Sekarang ini sudah tidak berlaku seperti itu seperti yang pernah disebut Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO setelah mereka pinda perlembagaan parti mereka, maka mana-mana ahli Parlimen dari UMNO yang tidak berpegang kepada pendirian parti termasuk dalam isu Perdana Menteri.

Maka mereka akan gugur sebagai ahli dan pernah beliau sebut perlu sediakan RM1 bilion sekiranya betul ada 10 orang ahli Parlimen UMNO kononnya nak melompat, jumlah yang mereka perlu sediakan adalah RM100 juta seorang.

Saya lihat angka 120 ini (SD) telah diranapkan hujahnya oleh beberapa media tempatan. Sebagai contoh, dalam senarai yang dijaja oleh seorang pelarian politik yang sekarang ini tidak berani untuk kembali ke Malaysia.

Terdapat nama ahli-ahli Parlimen dari Parti Warisan  dalam satu senarai, manakala dalam senarai lain yang dijaja oleh pelarian ini masih menyatakan bahawa Warisan tidak memberikan SD.

Jadi mana satu, dia bagi ataupun tidak bagi? Bila media bertanya dengan ahli Parlimen dari Warisan, mereka menyatakan tidak, mereka tidak menandatangani apa-apa SD.

Di situ saya lihat timbul keraguan tentang apa yang didakwa oleh beberapa pihak. Mereka menambah Ajinomoto, menambah perasa yang keterlaluan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Saya lihat signal yang diberikan ini sukar sangat-sangat. Terlalu sukar ataupun tidak boleh dan insya-Allah tidak akan berlaku.

Apa yang meyakinkan YB ia tidak akan berlaku?

Saya lihat secara simboliknya apa yang telah diusahakan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz sepanjang tahun 2023 ialah memberi keyakinan kepada para pelabur untuk datang ke Malaysia dan membuat pelaburan langsung, membantu ekonomi negara membangun semula. 

Tapi bila ada dijaja cerita-cerita yang tidak berasas seperti ini oleh beberapa cyber trooper dan sebagainya. Dia mendatangkan satu kesan yang sangat negatif.

Malah ada yang bertanya, adakah apa yang mereka lakukan itu satu bentuk ekonomi sabotaj?

Jika ya, perkara ini wajib disiasat dengan mendalam oleh pihak berkuasa memandangkan usaha kita untuk memberi keyakinan kepada para pelabur melabur di Malaysia tidak harus diganggu gugat oleh langkah-langkah anti demokratik.

Adakah tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan dalam perkara ini?

Saya lihat mungkin ada keperluan untuk meneliti sama ada tindakan mereka ini melanggar undang-undang, kita ada dalam Kanun Keseksaan mengenai ketenteraman dan juga demokrasi berparlimen.

Jadi, saya lihat tiba masanya untuk pihak berkuasa meneliti dan mengambil tindakan terhadap penyebar-penyebar fitnah ini.

Sebab kalau kita teliti, ada seorang yang sekarang ini telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan telah berjanji berkali-kali hari ini kerajaan tumbang atau esok kerajaan tumbang.

Kalau tak esok, lusa…kalau tak lusa, tulat. Kalau tak tulat, tungging, Jadi, bagi saya di sini, enough is enough (cukup-cukuplah). Let’s do the work (Mari buat kerja). Kalau nak berentap, tunggu PRU16. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×