M Nasir dan Hattan, gabungan seni sifu, anak murid

M Nasir dan Hattan, gabungan seni sifu, anak murid

m nasir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA figura ini, jika disebut namanya mungkin ada yang beranggapan keduanya mempunyai aura tersendiri. Pesona legenda yang adakala membawa perasaan ‘seram’, takut dan gementar untuk berbicara.

Tidak dinafikan, Poklip sendiri diselubungi perasaan sama ketika mula-mula diberi tugasan untuk menemu bual kedua-dua legenda muzik ini sedekad yang lalu. Kita pula wartawan baharu, ketar kaki tau.

Namun merentasi masa, sebenarnya baik Datuk M. Nasir atau Datuk Hattan, keduanya mempunyai buah bicara yang sedikit berbeza. Jangan ditanya soalan yang bunyinya mungkin kurang cerdik, mereka tidak berminat.

Malah Hattan sendiri mengakui, ramai yang menganggap dia dan sahabat baiknya itu sebagai seorang yang garang. Sehingga ada yang takut untuk bercakap kerana memandang tinggi dua legenda itu.

“Sebenarnya M. Nasir tak garang pun, dia suka berbual. Tetapi bukan cakap atau bual-bual kosong. Dia kelakar tau sebenarnya. Setiap perkara yang dibualkan perlu ada makna dan tujunya.

“Nak bekerja dengan dia pun bukan sesuatu yang sukar. Tetapi kena kenal dia dululah. Saya dulu belajar dengan dia. Dia guru dan sifu saya dalam industri seni. Banyak ilmu yang saya ‘curi’ dari dia,” kata Hattan.

Mengimbau sejarah 40 tahun persahabatan, kongsi Hattan, dia sanggup mengambil tugas sebagai pengurus pentas ketika konsert mega pertama M. Nasir pada 1994. Ketika itu, dia sudah meletup dengan lagu Memburu Rindu.

“Kalau nak diikutkan, ketika itu memang saya sanggup buat apa-apa untuk belajar daripadanya. Saya bawa dan hidang air sirap panas. Kali pertama kami jumpa dia Bangsar. Saya main langgar sahaja, cakap nak jadi penyanyi.

“Dia (M. Nasir) tanya, kau bagus ke nak jadi penyanyi? Ketika itu, saya memang terus jawab bagus! Walaupun panik dan gementar, tapi langgar sahajalah.Saya nak dia yang terbitkan album pertama saya,” ujarnya.

Keterujaan Hattan berkongsi sejarah persahabatan mereka adalah kerana keduanya bakal bergabung menggegarkan Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari depan, menerusi Konsert Sifu & Aku.

Malah, konsert berskala besar itu bakal mencipta sejarah persembahan bertaraf mega pertama yang menggabungkan dua nama hebat industri seni muzik tempatan itu.

“Saya tiada guru lain, M. Nasir seorang sahaja guru saya dalam bidang muzik. Sepentas dengan sifu sendiri, memang satu penghormatan buat saya selama bergelar anak seni. Sebab itu saya bersungguh untuk pastikan konsert ini terlaksana,” ujar Hattan.

KESUNGGUHAN HATTAN

“Hattan adalah seorang manusia yang sangat bersungguh-sungguh ingin berada dalam industri muzik.”

Itu jawapan yang diluncurkan ikon muzik, M. Nasir tatkala ditanya tentang permulaan kisah persahabatannya dengan penyanyi Biso Bonar itu hampir empat dekad lalu.

Lanjut komposer dan penyanyi sohor itu, kesungguhan Hattan itu sebenarnya memasak relevansi penyanyi tu sehingga mampu bertahan berdekad lamanya dan tetap unggul dalam liga sendiri.

“Industri muzik ini ada dua tiga jenis; satu, jadi pemuzik dan menyanyi di kelab tetapi, menjadi artis rakaman ini adalah satu cabang yang lain. Yang kedua itu buat album, buat album dan termasuklah menyanyi di pentas. Bukan menyanyi di kelab apa semua.

“Zaman kami dulu memang trend orang buat band. Masuk awal 80-an, band-band rock yang menjadi tumpuanlah. Dalam 10 tahun itu, memang semua orang nak jadi rockers. 10 tahun kemudian, Hattan muncul sebagai penyanyi solo.

“Sebelum itu, dia pun ada buat band bernama FRU namun kerjaya solo dia yang paling membekas. Berkat kejituan semangat dan kesungguhan, sampai sekarang Hattan masih berada dalam industri,” ujarnya.

Bercakap tentang konsert, biarpun sudah berpuluh konsert mega dijayakan namun, M. Nasir tetap merasa cabaran tertentu dalam Konsert Sifu Dan memandangkan hubungan dengan Hattan sudah lama terbina.

“Hubungan saya dan Hattan sudah lama. Dia menyerlah bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” katanya.

Konsert Sifu Dan Aku dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×