Pelihara bahasa ibunda untuk generasi akan datang

Pelihara bahasa ibunda untuk generasi akan datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH kita bayangkan situasi di mana pada suatu ketika nanti, tiada lagi sesiapa yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda kita? Mungkin pada pandangan kasar, ada yang merasakan hal ini tidak akan mendatangkan banyak masalah kerana pasti ada bahasa pertuturan lain yang lebih sesuai dengan kehendak zaman.

Ramai yang mengambil mudah akan nilai dan kepentingan bahasa ibunda kerana merasakan bahasa adalah tidak lebih daripada alat komunikasi dan ekspresi diri. Bagi mereka, jika pupus pun bahasa ibunda, yang hilang hanyalah setakat secebis kenangan sentimental. Benarkah begitu?

Bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa ibunda mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Cara pertuturannya menggambarkan asal usul keturunan kita. Bahasa menterjemahkan ilmu, nilai, budaya, sejarah serta warisan sesuatu bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Malaysia, 80 peratus daripada bahasa yang dituturkan rakyatnya terdiri daripada bahasa etnik Orang Asli di Semenanjung serta peribumi di Sabah dan Sarawak. Malangnya, kajian mendapati ada di antara bahasa-bahasa ini sedang diancam kepupusan, contohnya bahasa Mendriq.

Kini generasi muda subetnik orang asli Negrito ini lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan dan tidak lagi menggunakan bahasa Mendriq secara sepenuhnya dalam pertuturan sehari-hari.

Menyedari hal ini, kami di Wikimedia Malaysia mengambil inisiatif bagi membantu memelihara khazanah bangsa ini. Amat bersesuaian sekali, ketika kami sedang merangka projek ini, saya telah dilantik sebagai Penyelaras Belia RCE Greater Gombak (RCEG2) melalui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Di bawah pejabat saya, terdapat 19 kelab mahasiswa UIAM, termasuk kelab-kelab khidmat santun Orang Asli. Oleh kerana inisiatif ini bertepatan dengan hala tuju RCEG2, saya telah mengatur satu projek kerjasama antara RCEG2 dan Wikimedia bagi berkongsi kepakaran serta menggembleng tenaga untuk menjayakan hasrat murni ini. Kami turut disertai pelajar serta dua pensyarah daripada Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) UIAM daripada kampus Pagoh.

Pada Oktober 2023, kami berkampung selama dua hari di Kampung Kuala Lah, Gua Musang. Projek ini turut memperoleh kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Ahmad Zaini Dahlan Ab. Rahaman, selaku penggerak masyarakat orang asli di kampung tersebut.
Melalui sebuah program yang dinamakan WikiKata, kami bekerjasama mendokumenkan sebanyak mungkin perkataan-perkataan bahasa Mendriq ke sebuah platform kamus dalam talian, iaitu Wikikamus.

Bagi memastikan usaha ini tidak terhenti setakat ini sahaja, kami berusaha berkongsi bersama penduduk kampung cara-cara menggunakan telefon pintar bagi kerja-kerja mendokumentasi bahasa mereka, agar usaha ini dapat mereka lakukan secara berterusan selepas ini.

 

PENULIS ketika Program WikiKata bagi mendokumenkan sebanyak mungkin perkataan-perkataan bahasa Mendriq ke sebuah platform kamus dalam talian, Wikikamus.

 

Sepanjang program dwihari itu, kecekapan serta komitmen tinggi oleh rakan-rakan kelab pelajar UIAM amat membanggakan sekali. Mereka bertanggungjawab dalam persediaan peralatan memasak serta bekalan makanan. Mereka jugalah yang memasak untuk kesemua peserta sepanjang program ini.
Usai memasak, mereka turut gigih membantu pihak Wikimedia melaksanakan proses pendokumenan bahasa Mendriq serta menyantuni warga Mendriq, khasnya kanak-kanak yang teruja menyambut kedatangan kami. Malah, pelbagai program telah mereka atur untuk menggembirakan kanak-kanak yang datang ke pusat kerja kami.

Ketika mengelilingi kampung dan melawat beberapa buah rumah bagi kerja-kerja dokumentasi, kami dapat menyelami kehidupan mereka dengan lebih dekat serta mendengar penggunaan bahasa Mendriq yang dituturkan sesama mereka. Saya tertarik melihat papan tanda makluman prosedur operasi standard (SOP) bagi wabak Covid-19 yang ditulis dalam bahasa Mendriq.

Warga Mendriq sayangkan bahasa mereka dan tidak mahu generasi akan datang kehilangan identiti diri, lantas berusaha mendidik generasi baharu menggunakan bahasa Mendriq selain bahasa Melayu dan Inggeris yang dipelajari di tadika dan sekolah.

Malang sekali, oleh kerana bahasa Mendriq merupakan satu bahasa pertuturan lisan, hampir tiada langsung bahan rujukan tentang bahasa ini, begitu juga dengan bahan bacaan. Usaha bagi menterjemahkan bahasa ini ke dalam bentuk tulisan masih baru dan belum cukup meluas.

Pendokumenan bahasa amat penting bagi memastikan kebolehlangsungan bahasa tersebut. Ia juga akan menjadi bahan rujukan kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari bahasa tersebut, tidak kiri di benua mana mereka berada.

Semasa program tersebut, kami juga membantu mereka bangunkan Wikipedia dalam bahasa Mendriq, serta merakam video dan audio pertuturan bahasa Mendriq untuk dimuat naik ke dalam talian. Dengan ini, sebutan dan gaya pertuturan bahasa ini juga dapat direkodkan.

Kebaikan hati warga Kuala Lah tersemat di hati kami. Kami dilayan dengan sangat mesra oleh warga kampung, dan mereka juga penuh semangat gigih berusaha bersama kami demi menyelamatkan budaya mereka. Selain daripada cenderahati, kami juga dibekalkan dengan buah segar daripada kebun mereka untuk dibawa pulang.

Banyak juga yang dapat kami pelajari daripada cara hidup mereka yang begitu berbeza berbanding kita, terutamanya apabila kita lebih selesa sentiasa bergantung pada teknologi canggih dan alatan pintar.

Program ini menjadi satu contoh serta pembakar semangat bagi kami untuk terus berusaha kuat demi memelihara ilmu. Kerjasama padu dan perkongsian kepakaran di antara pasukan Wikimedia dan RCEG2 serta warga Mendriq menjadi kunci kejayaan projek demi memelihara bahasa dan budaya Mendriq. Gosh gosh menraq Mendriq!-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×