KELMARIN, wakil PKR dilaporkan menegur ‘abang besar’ Pakatan Harapan (PH) agar wujudkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan elak secara semberono melontar idea atau kemahuan. Hari yang sama, UMNO setelah dikatakan berkemungkinan menjadi ‘alas kaki’ DAP di penghujung usia politik, dua ‘pendekar’ parti kerajaan campuran itu mula bersuara menegaskan bahawa tidak semua yang dikehendaki DAP akan terlaksana selagi tidak dapat persetujuan UMNO.
Awal bulan ini, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan berpandangan bahawa parti itu terus ditolak Melayu kerana mengikut ‘telunjuk’ DAP.
Isham Jalil yang telah dipecat UMNO baru-baru ini kemudian menegaskan bahawa label itu ditujukan kepada beberapa pemimpin parti itu yang menurutnya ‘lebih DAP daripada DAP.’
DAP pula kini dilihat semakin gelojoh setelah setahun ‘bersemayam’ di Putrajaya kerana sering meminta-minta secara terbuka.
Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada membayangkan DAP bakal menang besar jika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti sering ‘diratib’ mereka sekian lama menjadi kenyataan. Seperti dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) ketika itu, Ramkarpal Singh memaklumkan proses persempadanan semula pilihan raya telah bermula tahun ini di Sarawak dan di Sabah pula 2025 dan di Semenanjung dijadualkan 2026.
Pada November juga, ahli Parlimen DAP mencadangkan bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu. Ini selari dengan kenyataan Pengerusi DAP dibuat dua bulan sebelum itu bahawa urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan bidang kuasa SPR.
Dan apa yang boleh dilihat sebagai memenuhi kemahuan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor beberapa hari lepas dilaporkan meluluskan usul mendesak kerajaan dan SPR melakukan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Semua ini berlaku ketika negara masih panas dengan isu Perdana Menteri bukan Melayu yang dibangkitkan veteran DAP sehingga tokoh itu disiasat polis. Respons tegas Perdana Menteri pula mahu supaya ia tidak dijadikan isu kerana hal itu tidak pernah menjadi isu, jadi jangan dirumitkan keadaan. Tidak pasti sejauh mana Perdana Menteri kurang senang dengan kenyataan yang dibuat. Hakikatnya, DAP di bawah kepimpinan ini bukan sedikit mendapat laba.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Pulau Pinang, negeri yang dipimpin kerajaan DAP mendapat durian runtuh apabila Perdana Menteri mengumumkan pembiayaan projek transit aliran ringan (LRT) bernilai RM10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta. Malah, walaupun DAP menafikan mereka sebenarnya untung besar dalam barisan Kabinet terkini, hakikatnya DAP berjaya memegang jawatan berportfolio penting seperti Menteri Pengangkutan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Digital serta Menteri Sumber Manusia.
Harus ingat, DAP juga memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan dan Komoditi; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Timbalan Menteri Komunikasi; Timbalan Menteri Kewangan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Timbalan Menteri Pendidikan.
NARATIF BERACUN
Oleh itu, tidak keterlaluan jika ada mengandaikan masa depan dan arah tuju infrastruktur pengangkutan negara, kebajikan dan pembangunan belia, kelestarian pihak berkuasa tempatan, tenaga kerja negara dan konsumsi digital negara terletak di tangan DAP. Malah, DAP juga sangat privy kepada hampir semua aspek kewangan, ekonomi, perundangan, pendidikan, sekuriti makanan, telekomunikasi dan masa depan pendidikan negara.
Hakikatnya juga, tiada larangan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk negara mempunyai seorang Perdana Menteri bukan Melayu, namun umum mempersoalkan motif ciapan itu dibuat seperti telah ditegur bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam podcast, Keluar Sekejap.
Timbul persoalan, adakah Malaysia dengan seorang Perdana Menteri Melayu tidak pernah berlaku adil kepada warganegara bukan Melayu?
Adakah itu pendirian DAP selama ini sehingga mendambakan seorang Perdana Menteri bukan Melayu?
Belum kebah isu itu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan pula dilaporkan menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur. Cadangan ini ditempelak Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai bakal meruncingkan lagi perkauman, malah berpandangan sistem pelbagai kaum diamalkan PBT sudah cukup baik.
Mohd. Afifi Abdul Razak juga bersetuju pilihan raya PBT bakal mencetuskan perpecahan politik khususnya dalam kalangan tiga kaum terbesar di negara ini. Malah ia juga bakal melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi. Penganalisis politik itu menambah, jika ada 154 PBT, bermakna kerajaan perlu menyediakan RM308 juta untuk keseluruhan proses pilihan raya di mana kos RM2 juta bagi setiap PBT adalah sangat minimum.
Dr. Syed Agil Alsagoff pula menegaskan, cadangan DAP ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara pada 14 Ogos 2014 memutuskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 9 Mei 2013 adalah bercanggah dengan Perkara 75 kerana tidak selari dengan Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Timbul persoalan, adakah ikrar DAP mahu patuh kepada undang-undang tertinggi negara itu sekadar retorik mabuk kuasa? Dan elok juga untuk sekali lagi kita bertanya, “Apa lagi DAP mahu?” – UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Kanan di Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).











