Kisah wanita ‘penghibur’ di estet

Kisah wanita ‘penghibur’ di estet

DALAM buku A Century of Seremban diceritakan mengenai kelaziman pengurus ladang menjalin hubungan dengan pekerja ladang. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGETAHUAN saya mengenai realiti kehidupan kaum India di estet atau ladang getah adalah menerusi pergaulan dengan golongan yang pernah tinggal di sana. Hal demikian ini kerana saya tidak lahir dan membesar di estet serta bukan lepasan sekolah Tamil.

Kisah hidup keluarga penoreh getah kaum India juga banyak saya ikuti menerusi cerpen dan novel penulis Tamil tempatan. Harus diakui rata-rata karya itu meletakkan watak orang Tamil sebagai mangsa penindasan orang Eropah, Malayali dan Tamil Sri Lanka.

Antara penulis veteran yang menjadi rujukan saya ialah S. Vadiveloo kerana beliau diakui sebagai penulis terpenting dalam perkembangan cerpen bahasa Tamil (Dewan Sastera, Januari 1985).

Pada pandangan G. Soosai, cerpen-cerpen Vadiveloo setaraf karya cerpenis Eropah dan Asia, malah setara cerpen Keris Mas (Berita Harian, 8 Ogos 1971). Beliau juga pengerusi Persatuan Penulis Tamil Malaysia (1974-1980) dan Persatuan Penulis Tamil Negeri Sembilan (1983-1986).

Tiga kumpulan cerpen Vadiveloo yang amat wajar dibaca ialah Valluvarin Kaadali (1964), Irandda Ulagam (1970) dan Puthiya Pathai (1981) kerana dianggap karya hebat yang mendokumentasi realiti hidup golongan buruh Tamil di ladang getah (Utusan Malaysia, 24 Jun 2023).

Sekiranya kesemua cerpen Vadiveloo dikaji, akan nampak tema penindasan pekerja Tamil di ladang oleh orang British, Jepun serta golongan elit (Malayali dan Tamil Sri Lanka) seperti kangani, kerani, pembantu perubatan dan pemilik kedai.

Dalam cerpen Serembanil Iruntu Vantha Chella (Chella yang berasal dari Seremban) misalnya, digambarkan kisah Chellamah, kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dihantar oleh bapanya menjadi pembantu di rumah seorang kerani di Kuala Lumpur.

Watak suami pemabuk dan mendera isteri juga hadir antara lain dalam cerpen Thaayum Magalum (Ibu dan Anak Gadisnya). Kannama, si anak gadis berumur 16 tahun terpaksa membantu ibunya, Ammakannu menoreh getah serta menebas belukar di ladang getah. Selain ditindas kangani (mandur, penyelia), pekerja wanita di ladang juga digambarkan menjadi mangsa eksploitasi golongan kerani terdiri daripada orang Malayali dan Tamil Sri Lanka. Misalnya, watak Ammakannu diperkosa ketua kerani sehingga mengandung dan melahirkan anak, iaitu Kannama yang berkulit cerah dan berhidung mancung.

Munusamy seorang penoreh getah dan dia ‘membiarkan’ isterinya, Ammakannu diperkosa ketua kerani semata-mata kerana ditawarkan jawatan kangani. Munusamy sengaja menghantar Ammakannu sebagai pembantu rumah sewaktu isteri kepada ketua kerani itu pergi ke rumah ibu bapanya. Lebih hina apabila Munusamy memutuskan untuk menghantar Kannama yang berumur 16 tahun kepada ketua kerani sebagai habuan seks semata-mata kerana mahu mendapatkan jawatan ketua kangani.

Kisah dalam cerpen ini juga berlaku di sebuah ladang getah tidak jauh dari Seremban. Maka, saya segera teringat dokumentasi kisah sebenar hampir serupa ditulis Dr. Bob Devadas Samuel dalam buku A Century of Seremban (2023).

DORAI

Sementara Vadiveloo menggambarkan kerani dan ketua kerani keturunan Malayali sebagai pihak yang mengambil kesempatan ke atas wanita di ladang getah, realiti sedikit berbeza didokumentasi Bob dalam bukunya. Pengurus ladang getah ialah orang putih yang dipanggil dorai (bos). Dia dianggap mempunyai kuasa autonomi di ladang, maka wajib dihormati dan dipatuhi. Pengurus ini biasanya lelaki bujang dan tinggal sendirian di rumah agam (banglo) yang dikhaskan untuknya.

Menurut Bob, memang menjadi kelaziman bagi pengurus ladang menjalin hubungan dengan pekerja ladang. Bagaimanapun, mereka tidak mencari anak gadis atau wanita yang belum berkahwin. Sebaliknya mereka memilih wanita yang sudah berkahwin kerana dianggap kurang risiko.

Memanglah kedengaran aneh tetapi rasional di sebalik tindakan itu diterangkan dalam buku A Century of Seremban. Apabila pengurus ladang tertarik kepada seorang pekerja wanita, kangani menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat itu kepada wanita berkenaan. Hanya jika wanita itu dan suaminya bersetuju, barulah langkah seterusnya diambil.

Wanita itu tidak lagi perlu menjadi penoreh getah. Sebaliknya diambil sebagai pembantu rumah di banglo milik pengurus ladang. Si suami juga tidak perlu bekerja keras di ladang getah kerana diberi kerja tukang kebun di banglo berkenaan.

Para pekerja ladang memahami situasi sebenar apabila si isteri menjadi pembantu rumah dan si suami menjadi tukang kebun di banglo milik pengurus ladang Eropah. Kita mungkin membayangkan pasangan suami-isteri itu dipandang hina oleh para buruh Tamil di ladang getah. Sebaliknya menurut Bob, pasangan itu dianggap bertuah dan dihormati kerana kini si isteri ada peluang untuk meminta apa-apa sahaja daripada dorai yang kaya dan berkuasa.

Selalunya dipastikan wanita itu tidak mengandungkan anak pengurus ladang. Namun begitu, banyak juga kes sehingga 1960-an di mana pekerja ladang melahirkan bayi dengan ciri orang putih khususnya warna kulit, anak mata dan rambut.

Ada pula pengurus ladang mahu menjaga imej di tempat kerja. Maka dia tidak menjalin hubungan dengan wanita di ladang berkenaan. Sebaliknya dari semasa ke semasa, dia mengunjungi rumah agam milik pengurus di ladang lain yang agak jauh. Di sana, dia disediakan peluang berhibur dengan wanita yang merupakan pekerja ladang berkenaan.

Realiti ‘habuan seks’ melibatkan wanita di ladang getah sebagaimana digambarkan dalam cerpen Tamil tempatan ternyata bukan rekaan semata-mata. Vadiveloo lahir di Kedah tetapi membesar di sebuah ladang getah di Negeri Sembilan. Maka beliau tahu apa yang benar-benar berlaku di sebalik pokok-pokok getah.

Bagaimanapun, entah mengapa Vadiveloo memilih untuk menggambarkan ketua kerani keturunan Malayali dan bukannya pengurus ladang Eropah sebagai individu yang meminta dan menerima habuan seks.

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×