KANGAR: Hatyai di Thailand terus menjadi pilihan rakyat Malaysia sempena musim cuti persekolahan bermula Jumaat lalu di sebalik peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Malah, lokasi pelancongan popular tersebut dipenuhi pelancong Malaysia khususnya pada Sabtu dan Ahad yang mengambil kesempatan membawa keluarga bercuti ke negara Gajah Putih itu.
Rata-rata pelancong dilihat menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak di lokasi pelancongan berkenaan.
Menerusi data yang diberikan Imigresen negeri, sebanyak 15,397 rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menerusi sempadan negeri ini dalam tempoh empat hari dari 15 Disember sehingga semalam.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,214 rakyat Malaysia memasuki Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar manakala 5,183 melalui ICQS Wang Kelian.
Sabtu lalu merekodkan paling ramai kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand melalui Padang Besar iaitu sebanyak 4,714 orang manakala pada Ahad pula sebanyak 3,119 selain Jumaat iaitu sekitar 2,381.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Muhammad Zaim Ridzuan, 37, berkata, Hatyai masih penuh dengan rakyat Malaysia meskipun difahamkan sejak kebelakangan ini kes Covid-19 kembali melonjak.
Katanya, dia bersama isteri dan serta lima ahli keluarga lain memilih Hatyai untuk bercuti memandangkan lokasi tersebut unik dan kos perbelanjaan yang masih rendah.
Ujarnya, banyak pilihan apabila berada di Hatyai dari segi lokasi pelancongan menarik selain kedai-kedai makan dan tempat membeli-belah dengan harga berpatutan.
“Meskipun nilai mata wang kita jatuh, namun apabila berada di Hatyai, kita masih berasakan kos di sana (Hatyai) rendah. Malah, apabila makan dalam jumlah ahli keluarga yang ramai, perbelanjaan masih tidak sampai RM300 dengan pelbagai aneka jenis makanan.
“Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Pantai Samila, pasar terapung, Lee Gardens dan Asian Night Market,” katanya yang berkunjung ke Hatyai pada Sabtu dan Ahad lalu.
Muhammad Zaim berkata, Hatyai menjadi pilihan memandangkan mereka cukup pandai menampilkan idea-idea kreatif bagi menarik pelancong datang ke negara tersebut.
“Justeru tidak hairanlah, apabila setiap kali musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu Hatyai dipenuhi pelancong terutama dari negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Hatyai menjadi ‘mini’ Malaysia apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong negara ini.
Malah direkodkan dari awal tahun sehingga Oktober lalu, seramai tiga juta pelancong Malaysia memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai.
Dalam pada itu, Perlis juga menjadi tumpuan sempena musim cuti persekolahan ini dengan beberapa lokasi tumpuan dipenuhi pelancong sepanjang Jumaat sehingga Ahad lalu. – UTUSAN










