Pelantikan Amir Hamzah tepat

Pelantikan Amir Hamzah tepat

amir hamzah
AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Amir Hamzah Azizan disifatkan oleh penganalisis ekonomi dan politik sebagai individu yang tepat bagi mengisi jawatan Menteri Kewangan II berdasarkan latar belakang korporatnya yang luas.

Kredibiliti beliau diyakini mampu memastikan perbelanjaan negara diuruskan dengan sebaik mungkin tanpa perlu terikat dengan mana-mana kepentingan politik.

Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, selepas ini, apa sahaja tentang dasar fiskal negara akan diterajui oleh Menteri Kewangan II yang berkaliber dan berpe­ngalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

PROFESIONAL

“Paling menarik Amir Hamzah adalah seorang teknokrat dan seorang profesional yang tidak terkait mana-mana parti, ini pen­ting supaya setiap dasar fiskal itu mesti mengutamakan negara, bukan lagi parti politik,” katanya.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Amir Hamzah adalah seorang yang penuh berakauntabiliti dan diyakini dapat mencegah berlakunya ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan negara.

“Rakyat perlu faham dengan adanya dua Menteri Kewangan, Kabinet Kerajaan Perpaduan sekarang dibantu oleh seseorang yang diyakini betul-betul profesional, maka pelaksanaan dasar fiskal kerajaan akan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

“Sebagai seorang yang pernah berkecimpung sebagai ahli korporat, beliau sememangnya layak memegang jawatan tersebut berbanding jika diletakkan untuk memegang jawatan Menteri Ekonomi,” katanya ketika dihubungi.

KORPORAT

Tambahnya, kecekapan Amir Hamzah dalam menjalankan tugas ketika memegang jawatan besar sektor korporat dapat membantu menguruskan pengagihan sumber kewangan dengan berkesan, lebih-lebih bagi peruntukan tahun 2025.

Selasa lalu, rombakan Kabinet menyaksikan penyertaan Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan II dan pelantikan tersebut menarik perhatian ramai kerana nama beliau yang tidak asing dalam dunia korporat kerana pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, Pensyarah PBS UPM, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pengalaman beliau dalam dunia korporat akan membantu beliau untuk mengatur strategik menangani masalah ekonomi negara.

Beliau berharap Amir Hamzah dapat mengeluarkan dasar-dasar yang boleh membantu menaikkan ekonomi terutamanya dalam menstabilkan harga barang keperluan asas.

Katanya, strategi yang bijak dalam pengurusan bentuk kewangan yang besar dapat memastikan pertumbuhan mampan demi kemakmuran kehidupan rakyat dan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×