Rombakan substantif untuk kekal dan tawan

Rombakan substantif untuk kekal dan tawan

ROMBAKAN Kabinet kali ini juga melibatkan kemunculan semula lima bekas menteri iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Gobind Singh Deo, Datuk Seri Noraini Ahmad dan M. Kulasegaran. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya memenuhi harapan pelbagai pihak di peringkat akar umbi apabila melantik Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, seorang tokoh korporat berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan sebagai Menteri Kewangan II.

Banyak pihak sebelum ini mendesak Anwar mewujudkan semula jawatan itu bagi membantu beliau sebagai Menteri Kewangan untuk mengukuhkan ekonomi negara dan melaksanakan pelan transformasi ekonomi memandangkan keadaan kewangan cukup mencabar dengan hutang negara mencecah RM1.5 trilion.

Calon-calon yang dicadangkan itu perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai isu-isu kewangan dan ekonomi serta mendapat kepercayaan sektor swasta, dilihat sebagai bersih dan tanpa sebarang kes mahkamah, diterima oleh parti-parti kerajaan perpaduan dan dapat bekerjasama dengan penjawat awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amir Hamzah dilihat memenuhi kriteria itu kerana bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah seorang yang kompeten dan dapat menguruskan KWSP dengan baik serta memuaskan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Amir Hamzah, 56, golongan teknokrat ekonomi (mahir dalam bidang teknikal) kedua dari KWSP bersama-sama Anwar kerana baru-baru ini, bekas Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein juga menyertai sebagai Pengarah Kanan Bahagian Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri.

KWSP merekodkan prestasi cemerlang dengan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun lalu, meningkat 39.74 peratus atau RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Rombakan Kabinet kali ini juga melibatkan kemunculan semula lima bekas menteri iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan), Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Datuk Seri Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan M. Kulasegaran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Terdapat juga muka-muka baharu dilantik termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. P. Sivamurugan yang berkongsi pandangan beliau berkenaan rombakan Kabinet itu dalam satu temu bual media menyifatkan semua yang dilantik sebagai ‘Pasukan Anwar Ibrahim.’

“Selepas satu tahun, pasti Perdana Menteri meneliti dan mencerna apa yang telah berlaku serta memastikan menelusuri tahun kedua, ketiga, keempat dan tahun-tahun berikutnya, beliau mempunyai satu pasukan dinamakan sebagai Pasukan Anwar Ibrahim yang memahami dan juga memberikan maksud dan makna kepada konsep Malaysia Madani.

“Lumrah dalam konteks rombakan Kabinet akan ada individu dikekalkan atau digugurkan, lantikan muka baharu atau kembalinya muka lama yang pernah ada dalam Kabinet sebelum ini, wujud anjakan kedudukan timbalan menteri kepada portfolio penuh sebagai menteri, pertukaran portfolio kementerian dan wujud kementerian baharu.

“Banyak perlu diambil kira oleh Perdana Menteri termasuk soal kualiti dan kuantiti membabitkan kepakaran dan ketokohan mereka yang berpengalaman dan mengambil kira prinsip parti gabungan yang mungkin sudah memberikan cadangan kepada Perdana Menteri mengenai siapakah wajar untuk berada dalam Kabinet,” katanya.

TAWAN

Beliau berkata, pelantikan Amir Hamzah mengulangi sejarah lampau yang menyaksikan golongan teknokrat dilantik sebagai Menteri Kewangan II, dan perubahan di Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia serta dipisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital sudah dijangka lebih awal kerana kementerian-kementerian terbabit dilihat penting untuk memperkukuhkan konsep Malaysia Madani.

“Kita melihat perubahan yang substantif tetapi bukan secara keseluruhan kerana ini tidak akan berlaku kerana seperti telah dinyatakan oleh Perdana Menteri sendiri, kurang wajar untuk mengubah selepas satu tahun hanya berdasarkan kepada prestasi yang diambil kira kepada hanya beberapa kementerian.

“Saya percaya apabila dikatakan substantif ini termasuk memenuhi kekosongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup seperti dijangka diisi individu yang sedang memangkunya iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali,” katanya.

Beliau berkata, apa yang diharapkan oleh orang ramai, barisan anggota Kabinet baharu dan lama ini dapat menjadi satu pasukan yang mampu untuk menangani segala isu berbangkit dan memenuhi keperluan serta kemahuan rakyat.

“Ini bermakna pasukan ini harus melihat mereka mampu berada dalam Kabinet bukan semata-mata kepakaran, ketokohan atau pengalaman tetapi menjadi jurucakap dan aspirasi kepada konsep kerangka besar Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama dalam tempoh empat tahun akan datang, pasukan ini diharap dapat menarik sokongan pengundi dan diterjemahkan dalam pilihan raya nanti dalam konsep kekal dan juga tawan iaitu mengekalkan kerusi yang ada dan menawan kerusi sedang dimiliki pembangkang.

Mengulas cabaran besar yang akan dihadapi oleh Pasukan Anwar Ibrahim terbabit, Sivamurugan berkata, ia adalah untuk merakyatkan kepimpinan apabila anggota Kabinet yang terdiri pelbagai parti harus berkompromi, membuat pengorbanan yang cukup besar dan mengetepikan ideologi politik masing-masing.

“Rakyat dahagakan hasil akhir atau output besar. Oleh itu, harus wujud usaha merakyatkan kepimpinan yang dapat dilakukan dengan memanusiakan dasar dan juga polisi yang mahu dibawa kerajaan,” katanya.

Beliau percaya segala cabaran besar akan dapat diatasi sekiranya anggota Kabinet memberikan komitmen, iltizam dan mengambil iktibar apa yang telah berlaku dalam tempoh setahun lalu.

Untuk menelusuri tahun-tahun akan datang mungkin akan ada pendekatan berbeza tetapi akhirnya yang akan dinilai oleh rakyat adalah hasilnya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×