Kembalikan tugas hakiki guru elak tekanan kerja

Kembalikan tugas hakiki guru elak tekanan kerja

Kurikulum pendidikan sepatutnya kekal walaupun Menteri Pendidikan bertukar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan guru mendesak Kementerian Pendidikan mengembalikan fungsi guru seperti dahulu agar mereka tidak dibebani dengan perkara remeh yang memberi tekanan di tempat kerja.

Hal ini kerana, selain bertanggungjawab untuk mendidik pelajar, guru-guru juga dibebani tugas yang tidak berkaitan seperti pengurusan data peribadi pelajar terutama menjadi guru kelas serta terpaksa mengisi borang-borang kajian daripada pelbagai institusi pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, fungsi pembelajaran dan pengajaran (PdP) guru perlu dikembalikan sebagai keutamaan agar lebih tumpuan dapat diberikan.

Katanya, semakan semula deskripsi tugas pegawai perkhidmatan pendidikan oleh kementerian seharusnya dilakukan sebagai langkah mengurangkan bebanan terutama berkaitan kerja-kerja perkeranian dan tugasan tidak berkaitan.

“Satu cara untuk kurangkan beban adalah memastikan guru dapat tumpukan pada PdP. Jika ini diberi keutamaan, isu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dapat diatasi.

“Begitu juga penguasaan murid dalam 3M (membaca, mengira dan menulis) dapat diatasi. Jika beban guru terlalu banyak, ia menyebabkan guru hilang tumpuan mengajar dan terdedah kepada tekanan psikologi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini ada melaporkan, selain faktor pemakanan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NTUP) tidak menolak kemungkinan tekanan atau stress menyebabkan ramai guru menghidap penyakit kronik terutama jantung dan barah.

Dalam pada itu, Mohd. Azizee berkata, kementerian juga dicadang menyediakan insentif pemeriksaan kesihatan tahunan terutama kepada yang berumur 40 tahun ke atas bagi penjagaan kualiti kesihatan guru.

“Hari ini, guru banyak terdedah kepada pelbagai risiko penyakit yang menjejaskan kualiti kerja,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengurangkan tekanan kerja, KPM juga seharusnya menambah jawatan pembantu guru seperti yang diperlukan selain pengambilan guru yang lebih banyak berdasarkan keperluan subjek dan bukannya mengikut nisbah bilangan murid secara keseluruhan.

“Kalau tidak guru subjek tersebut terpaksa menanggung beban kelas dan waktu mengajar akibat kekurangan guru di dalam subjek tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×