PETALING JAYA: Sehari selepas gencatan senjata diumumkan, rejim Zionis sudah pun melanggar persetujuan tersebut dengan membunuh seorang warga awam dan mencederakan empat lagi warga Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penuntut Ijazah Kedoktoran Teknologi Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohammed Z. M. Qaddoura, 33, berkata, ahli keluarganya menceritakan semula kejadian itu kepadanya selepas dia menghubungi mereka di Gaza.
“Keluarga saya menceritakan, mereka ini dalam perjalanan pulang ke rumah dari Utara Gaza sebelum dihalang dengan kereta kebal milik rejim zionis dan secara tiba-tiba mereka terus melepaskan tembakan terhadap orang ramai,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza dilanjutkan dua hari lagi ketika ia hampir tamat semalam, kata negara pengantara, Qatar.
Perkembangan itu turut meningkatkan keyakinan lebih ramai tahanan Palestin dan tebusan Israel akan dibebaskan, selepas 69 orang dibebaskan sejak Jumaat lalu.
Lanjutan pemberhentian sementara itu, ia menambah kelegaan selepas kesengsaraan mengharungi perang selama tujuh minggu antara tentera Israel dan kumpulan pejuang Palestin yang bermula 7 Oktober lalu.
Menurut Qaddoura, tentera Israel tidak pernah mengikut peraturan yang ditetapkan dan membuktikan Zionis sama sahaja seperti dahulu yang tidak menghormati gencatan senjata yang dipersetujui Israel dan Hamas.
“Mereka tidak menghormati peraturan dan menceroboh negara kami, jadi mereka juga takkan pernah menghormati gencatan senjata,” katanya
Dalam pada itu, seorang pelajar warga Palestin dalam jurusan Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Malaysia, (UTM) Fouad Ibrahim Alsamna berkata, banyak kejadian di mana tentera Israel melanggar peraturan gencatan senjata di Gaza.
“Rejim Zionis ini suka menyerang warga awam yang dalam perjalanan pulang untuk ke rumah mereka di Utara, dan menembak tujuh orang rakyat Palestin,” katanya.
Menurut Fouad, dia berharap gencatan senjata ini dipanjangkan lagi supaya lebih banyak bantuan kecemasan dan lebih ramai tebusan dilepaskan. – UTUSAN










