PETALING JAYA: Sebanyak 22 projek pembinaan ibu pejabat kontinjen (IPK), ibu pejabat daerah (IPD) dan balai baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan peruntukan RM1.47 bilion dijangka bermula tahun depan bagi menggantikan bangunan sedia ada yang daif serta uzur.
Pada peringkat ini kerajaan sedang mengumpul maklumat untuk spesifikasi semua projek bagi memastikan setiap bangunan baharu itu lengkap dengan kemudahan terutama aset dan teknologi semasa.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua projek tersebut diluluskan sebagai usaha kerajaan bagi menyediakan kemudahan dan persekitaran yang selesa dan kondusif untuk warga PDRM dengan infrastruktur dan peralatan baharu canggih.
Menurut beliau, projek yang diluluskan itu akan melibatkan cadangan sebuah IPK, bangunan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK, enam IPD, dua balai polis dan sebuah kuarters perumahan.
“Antaranya melibatkan IPK Pahang, IPD Bagan Datuk, IPD dan perumahan Ampang Jaya, IPD Kemaman, IPD Padang Besar, IPD Nabawan dan IPD Kalabakan. Kita juga akan membina dua balai baharu iaitu Balai Polis Jelutong dan Balai Polis Tamisan.
“Projek tersebut akan dilaksanakan di tapak sedia ada dan lokasi baharu kerana ada antara bangunan-bangunan tersebut agak lama dan uzur selain memerlukan bangunan baharu,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, projek itu juga melibatkan kerja menaik taraf pos dan kelengkapan beberapa markas briged iaitu dengan peruntukan sebanyak RM19.2 juta.
Jelas beliau, ia melibatkan sebanyak RM5.5 juta untuk Briged Sabah; Briged Tenggara (RM5.8 juta), Briged Utara (RM4.1 juta) dan Briged Sarawak (RM3.8 juta).
“Selain itu, PDRM juga menerima peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan jeti dan menara tinjau di Pos Batu Putih, Perlis,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meneliti semula elaun-elaun melibatkan anggota dan pegawai polis agar satu kadar yang lebih wajar dan bersesuaian dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan terhadap pihak kerajaan kerana meluluskan projek pembinaan tersebut dan memberi peruntukan sewajarnya terhadap PDRM bagi memastikan setiap kebajikan anggota dan pegawai terjaga.
“Kita berharap dengan apa manfaat diperuntukkan ini membantu warga PDRM bekerja dengan lebih selesa,” ujar beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 mengumumkan sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk yang diduduki warga PDRM.
Razarudin dilaporkan berkata, peruntukan besar kerajaan kepada PDRM menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Belanjawan 2024 disifatkan sebagai langkah tepat bagi memperkukuhkan lagi agensi penguatkuasaan itu menjaga keselamatan negara.
Katanya, peruntukan tersebut berupaya memperkukuhkan lagi usaha PDRM memastikan ketenteraman awam serta menjamin keamanan dan keselamatan negara. – UTUSAN










