Bolehkah PBB dipercayai?

Bolehkah PBB dipercayai?

DALAM isu Palestin telah banyak resolusi diluluskan oleh Perhimpunan Agung yang menyokong kepada pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat tetapi semuanya telah ditentang Amerika Syarikat (AS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU Palestin sudah berlanjutan lebih 70 tahun. Arah perjalanan dan penyelesaian isu Palestin masih agak kabur dengan struktur politik antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa yang ada sekarang.

Kuasa besar utama yang menguasai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Russia dan China yang kononnya berasaskan prinsip keselamatan kolektif yang dicernakan melalui Piagam PBB ternyata tidak menjamin perjuangan rakyat Palestin.

Struktur politik yang wujud kini adalah jauh berbeza dengan yang wujud pada 1942 hingga 1945, ketika piagam PBB dirangka. Prinsip keselamatan kolektif yang mendasari falsafah penubuhan dan reka bentuk struktur pada ketika itu sudah tidak lagi boleh dipakai. Dengan bahasa mudah negara yang ‘berkawan rapat’ dalam tempoh masa itu telah menjadi ‘seteru pekat’ buat masa sekarang.

Matlamat penubuhan PBB yang dinyatakan dalam Artikel 1 Piagam PBB sudah lari jauh dan amat sukar sekali untuk dicapai. Tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat PBB (seperti yang dinyatakan dalam Artikel 1) yang dinyatakan dalam Artikel 2 (Artikel 2(1) hingga 2 (7) telah lari jauh dan omongan yang sukar dan tidak lagi menjadi reality. Artikel 2(4) yang begitu murni sudah lari jauh.

Artikel 2(4) menyatakan, “All members shall refrain in their international relations from the threat or use of force against the territorial integrity or political independence of any state, or in any other manner inconsistent with the Purpose of the United Nations.”

Apa yang berlaku di Palestin mahupun Gaza sejak 7 Oktober lalu adalah jauh bertentangan dengan apa yang digariskan dalam Piagam PBB. Kuasa-kuasa besar yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan tidak bertindak sebagaimana yang sepatutnya.
Apa yang dinyatakan dalam Bahagian 6 Pacific Settlement of Disputes artikel 33 hingga 38 dan yang dinyatakan dalam Bahagian 7 Action with Respect to Threats to the Peace, Breaches of the Peace, and Acts of Aggression, artikel 39 hingga 51 telah tidak lagi diambil peduli (langsung) oleh kuasa-kuasa besar utama yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan.

Pusat utama keselamatan dunia adalah terletak pada tangan lima kuasa besar anggota tetap Majlis Keselamatan. Kegagalan anggota tetap bertindak dan membuat keputusan lah yang menggagalkan kestabilan dan keamanan dunia. Perhimpunan Agung tidak mempunyai kuasa yang mampu menetapkan sesuatu keputusan secara terikat.

PALESTIN
Kembali kepada apa yang berlaku di Gaza dan Palestin adalah suatu yang amat bercanggah dengan asas dan matlamat penubuhan PBB. Matlamat utama adalah mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa sebagaimana yang dinyatakan dalam Artikel 1 Piagam PBB.

Dua organ utama iaitu Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB yang yang sepatutnya bertindak seiring tidak berlaku. Perhimpunan Agung melakukan tindakan wajar dengan mengadakan perjumpaan tergempar mengenai isu Palestin. Dua kali persidangan tergempar bagi membincangkan tindakan kejam Israel terhadap Gaza dan Palestin.

Keputusan amat jelas bahawa Perhimpunan Agung menentang keras tindakan kejam Israel dan ia perlu dihentikan segera.

Perhimpunan Agung mendapat sokongan majoriti anggota PBB dan sebulat suara menuntut supaya peperangan dan pembunuhan ke atas masyarakat awam Gaza dihentikan serta-merta.

Pun begitu, tindakan dan keputusan ini tidak membawa apa-apa makna kerana Perhimpunan Agung adalah keputusan yang tidak terikat. Resolusi yang dikeluarkan oleh Perhimpunan Agung tidak membawa apa-apa makna kepada politik dan kestabilan antarabangsa tanpa sokongan daripada Majlis Keselamatan.

15 anggota Majlis Keselamatan tidak membawa makna besar kepada kestabilan antarabangsa kerana sebarang keputusan adalah bukan berasaskan demokratik dan undi majoriti, tetapi berpaksi kepada lima kuasa anggota tetap iaitu AS, Britain, Perancis, Russia dan China.

Andainya salah sebuah daripada lima kuasa anggota tetap ini tidak bersetuju, maka ia boleh membatalkan semua keputusan (yang walaupun telah dipersetujui oleh Perhimpunan Agung dan secara majoriti daripada 15 anggota Majlis Keselamatan).

Betapa tidak demokratiknya struktur PBB yang ada kini. Pemimpin anggota PBB boleh bercakap dengan lantang dan bergegar dalam Perhimpunan Agung, tetapi ia boleh dibatalkan hanya oleh salah satu kuasa anggota tetap Majlis Keselamatan. Contohnya, permohonan Palestin sebagai salah sebuah anggota PBB (sampai sekarang Palestin gagal menjadi salah sebuah negara anggota PBB, hanya sebagai negara pemerhati sahaja) gagal hanya kerana ditentang oleh AS.

Peraturan yang ada dalam PBB sekarang sebagaimana yang dinyatakan dalam Artikel 4 Piagam PBB yang mensyaratkan persetujuan anggota Majlis Keselamatan setelah dipersetujui majoriti dua pertiga Perhimpunan Agung.

Dalam isu Palestin telah banyak resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung yang menyokong kepada pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan anggota PBB seperti; Resolusi 3236 (XXIX) 22 November 1974, Resolusi 43/177 15 Disember 1988, Resolusi 52/250 7 Julai 1998 dan Resolusi 67/19 4 Disember 2012. Tetapi semuanya telah ditentang AS.

Jelas bahawa AS dan sekutunya bukan untuk membela Palestin. Jadi, tidak aneh tiada tindakan dilakukan Majlis Keselamatan terhadap serangan ke atas Gaza.

Apakah PBB bersifat demokratik dan mampu menjadi badan yang menjamin kestabilan dan keselamatan antarabangsa? Jawapan mudahnya tidak boleh menjamin keselamatan antarabangsa. Majlis Keselamatan akan bertindak hanya sekiranya sesuatu ketidakstabilan itu membawa kepentingan kepada kuasa besar utama.

Dan PBB tidak dipinda bagi membentuk sebuah pertubuhan yang lebih demokratik yang mampu menjamin keselamatan antabangsa kerana amat sukar untuk dilakukan walaupun Artikel 108 ada memperuntukkan untuk membuat pindaan.
Bagi mendapatkan sokongan dua pertiga anggota Perhimpunan Agung mungkin tidak sukar, tetapi yang mustahil adalah sokongan daripada semua anggota tetap Majlis Keselamatan.

PBB tidak membawa jaminan kerana dikuasai oleh struktur yang tidak demokratik dan kuasa utama yang berat sebelah. Kita semua mesti berdoa dengan ikhlas dan yakin berfikir dengan penuh mendalam untuk mencari jalan penyelesaian ummah buat Palestin bagi jangka pendek dan panjang. Yakinkan bahawa kuasa Allah mengatasi segalanya dan kebenaran pasti menang akhirnya.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Kanan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian Sarjana Undang- Undang (LLM) Pengkhususan Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×