KOTA BHARU: Kuasa tular menjadi daya ‘pemikat’ yang menarik rakyat negara ini untuk menjadikan Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan berbanding destinasi tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pemandu Pelancong Kelantan, Wan Saiful Azwal Wan Mohamad berkata, kuasa tersebut membuatkan lokasi yang tidak terkenal menjadi popular sekali gus menarik orang ramai berkunjung ke kawasan tersebut.
“Sebagai contoh ada satu kawasan di Narathiwat sebelum ini kurang popular. Namun disebabkan kuasa viral, lokasi itu menjadi destinasi ‘wajib’ yang perlu di singgah setiap kali ke negara Gajah Putih itu.
“Selain itu, kemudahan fasiliti yang selesa menambahkan lagi daya penarik produk pelancong di negara berkenaan. Fasiliti di negara berkenaan lebih banyak dan terurus membuatkan rakyat kita mudah terpesona,” katanya.
Wan Saiful Azwal berkata, uniknya pelancongan di negara Gajah Putih itu apabila ia mendapat sokongan padu daripada kerajaan.
Katanya, Kerajaan Thailand memberikan sokongan padu dengan menyediakan dan menyelenggaran fasiliti serta kemudahan yang ada untuk keselesaan para pelancong.
“Layan mesra dan senyuman yang tidak lekang dari bibir membuatkan rakyat Malaysia menjadi ‘mabuk’ untuk menjadikan Thailand sebagai destinasi.
“Oleh itu, Malaysia perlu melihat perkara ini secara serius bagi memastikan industri pelancongan negara terus berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai tiga juta pelancong Malaysia direkodkan memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai bermula dari awal tahun ini sehingga bulan lalu.
Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang. Pakar ekonomi berpendapat, trend yang berterusan selama 10 bulan berturut-turut itu berisiko menyebabkan mata wang Malaysia semakin lemah. -UTUSAN










