JIKA disebut tentang pengakap, pasti ramai yang terkenangkan zaman persekolahan mereka. Memori berkhemah, berkawad dan mempelajari kemahiran-kemahiran yang memanfaatkan, mungkin masih segar dalam ingatan kita semua.
Melalui berpengakap, kita dapat mempelajari kemahiran baharu, berkenalan dengan lebih ramai rakan dan memperoleh perspektif yang baharu terhadap dunia di sekeliling kita.
Pergerakan pengakap membentuk ahlinya menjadi rakyat yang baik melalui perilaku dan sifat yang positif seperti menurut perintah, dipercayai, taat setia, prihatin terhadap orang lain, toleransi serta bergunakan kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Ia menerapkan disiplin pada ahli-ahlinya dan pada masa sama, merupakan satu wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Perjalanan sebagai seorang pengakap juga bermula pada usia yang muda. Pengakap kanak-kanak atau PKK, terdiri daripada kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun, manakala pengakap muda pula untuk yang berusia 13 hingga 15 tahun iaitu pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
Sementara itu, pengakap remaja melibatkan pelajar yang berusia 16 hingga 17 setengah tahun iaitu pelajar tingkatan 4 dan 5. Dalam pada itu, pengakap kelana adalah untuk ahli-ahli dewasa lepasan sekolah berusia 17 setengah tahun hingga 26 tahun.
Tidak berhenti setakat itu, individu dewasa juga boleh terus bergiat dalam pergerakan pengakap sebagai seorang pemimpin. Golongan dewasa memainkan peranan penting dalam membimbing, membentuk dasar dan melakar perancangan masa depan pergerakan pengakap tanah air.
Malah, bukan sahaja di peringkat dalam negara, ahli-ahli pengakap Malaysia juga dengan penglibatan aktif mereka dalam pergerakan kepengakapan peringkat antarabangsa sekali gus membawa imej dan nama baik Malaysia ke persada dunia.
Maka tidak hairanlah Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini berdiri teguh sebagai organisasi pendidikan tidak formal terbesar di negara ini dengan hampir 300,000 ahli berdaftar.
Pada tahun ini, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) turut menyambut ulang tahun ke-115 tahun. Komitmen melebihi tempoh seabad dalam melatih anak bangsa menjadi insan yang berwibawa, berkemahiran dan berdaya saing ini merupakan satu manifestasi jelas betapa besarnya jasa dan komitmen yang telah dicurahkan pergerakan tersebut dalam melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan.
Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa pergerakan pengakap tanah air telah sekian lama menjadi ‘kilang’ bagi melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan negara menerusi nilai-nilai yang telah diterapkan dalam pengakap.
Kesinambungan daripada usaha pengakap melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan ini semestinya perlu diteruskan terutama dalam memastikan pergerakan ini sentiasa relevan dengan keperluan-keperluan semasa.
Trend-trend mega global seperti impak iklim, perubahan sosial, pembangunan teknologi, peralihan buruh (labour shifts), urbanisasi pesat dan bentuk tadbir urus baharu perlu ditangani untuk memaksimumkan impak pengakap terhadap golongan muda.
Oleh sebab itu, sokongan serta dukungan yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada PPM adalah penting bagi membolehkan organisasi itu terus menyediakan pelbagai aktiviti yang berimpak untuk pembangunan belia.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja melibatkan pengembaraan atau adventure tetapi ia juga membentuk sahsiah, menyemai nilai kepimpinan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan ahli pengakap yang berbilang kaum.
PPM menyasarkan untuk menyediakan program-program golongan muda yang berkualiti tinggi, berasaskan nilai serta dipermudahkan oleh pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, dengan matlamat utama untuk memupuk ahlinya menjadi warga contoh.
MAKAN MALAM
Sehubungan itu, pada 1 Disember ini, PPM akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal, yang bertujuan untuk meraih dana bagi membiayai aktiviti dan pengurusan PPM.
Majlis yang bakal dilangsungkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu juga diharapkan dapat membuka ruang dan peluang kepada masyarakat serta badan-badan berkaitan untuk mengenali PPM dengan lebih mendalam.
Menerusi tema ‘Together, We Lead’, majlis makan malam itu merupakan aktiviti out-reach PPM untuk mempromosikan pergerakan pengakap kepada dunia korporat dan badan-badan yang lain.
Ia akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara, wakil-wakil korporat, warga pengakap, pihak berkepentingan dan anggota masyarakat, yang bersama-sama meraikan pergerakan pengakap tanah air yang usianya sudah melebihi sedekad.
Untuk sebarang pertanyaan berhubung majlis makan malam tersebut termasuk berkaitan tempahan meja, orang ramai boleh menghubungi talian 019-6032312.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif (Komunikasi Korporat)










