Setiap detik ingat syahid- Nurul Ain

‘Setiap detik fikir mati syahid’

gaza
NURUL Ain (tengah) bersama kanak-kanak di Palestin yang sedang bermain sewaktu petang walaupun ketika itu berlaku peperangan – IHSAN NURUL AIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lawatan ke Gaza yang pada awalnya untuk berjumpa keluarga mentua menjadi satu detik hidup yang tidak akan dilupai oleh Nurul Ain Haron, 37, apabila dia terperangkap di tengah-tengah konflik antara Palestin dan rejim Zionis.

Peluru berpandu bagai hujan, bunyi letupan setiap masa dan melihat mayat-mayat bergelimpangan dengan pelbagai keada­an menjadi rutin sepanjang berada di rumah keluarga mentuanya di Khan Younis, Selatan Gaza sejak tiba di sana 1 Oktober lalu hingga 14 November lalu.

Lebih menyedihkan, cerita Nurul Ain kepada Mingguan Malaysia, dia menyaksikan sendiri adik kepada abang iparnya yang baru bertemu dengannya syahid dengan keadaan jenazahnya sukar dicam. Jenazah adik kepada abang iparnya itu hanya boleh dicam melalui cincin serta rantai dipakainya.

Melihat orang terdekat ‘gugur’ dalam perang bukan perkara mudah. Menerusi pengalaman tersebut, Nurul Ain walaupun ‘terselamat’ daripada menjadi mangsa sera­ngan membabit buta Zionis dan berjaya keluar dari Gaza pada 14 November lalu namun hatinya tidak tenteram memikirkan keluarga mentua dan baki penduduk Palestin yang masih terperangkap dalam konflik kejam itu.

Mengimbau 44 hari berada di Gaza, setiap hari fikirannya bagai menunggu mati syahid. Malah dia berpesan kepada ahli keluarganya di Malaysia supaya tidak terlalu bimbang mengenai dirinya dan meminta mereka reda sekiranya dia ‘gugur’ di Gaza.

Suaminya, Mohamed Adan Shaat, 33, menjadi penguat semangat untuk dia terus bertahan sepanjang berada di Gaza.

Lebih daripada itu, cerita Nurul Ain, kekuatannya turut muncul setiap kali melihat keimanan kanak-kanak di Gaza yang mampu menempuhi hari-hari yang trauma.

“Suami dan anak-anak buah selalu beri kekuatan, mereka akan cakap kalau mati pun kita orang akan mati syahid jadi jangan risau. Saya setiap masa terbayang wajah ibu dan ayah saya di Malaysia, jadi saya kerap cakap pada mereka kalau saya mati syahid jangan menangis tetapi tolonglah bangga sebab saya mati syahid.

“Ada pada satu seketika saya bertemu dengan seorang kanak-kanak yang kehilangan ibu dan ayahnya kerana sudah syahid. Kanak-kanak itu keseorangan ketika itu, saya kata dekat dia bahawa jangan sedih kerana insya-Allah ibu dan ayah anda berada di syurga.

“Namun apa kanak-kanak itu balas semula kepada saya buat saya kagum de­ngan memberi­tahu saya, me­ngapa dia kena bersedih sebab dia beri­tahu ibu dan ayahnya memang sudah berada di syurga dan berbahagia,” katanya.

TRAUMA

Nurul Ain mengakui detik-detik ketika berada di Palestin meninggalkan kesan dan trauma yang sudah pasti meninggalkan kesan dalam hidupnya. Walaupun sudah selamat pulang bersama suaminya dan kembali berada di samping keluarganya di Malaysia, Nurul Ain masih teringat-ingat akan keadaan di Palestin. Nurul Ain memberitahu, cukup sekadar bunyi guruh ketika hujan sahaja buat dia terkejut seolah-olah masih berada di Palestin.

KELUARGA DI PALESTIN TIDAK DAPAT DIHUBUNGI

Nurul Ain mendedahkan keluarga mentuanya di Palestin kini tidak dapat dihubungi sejak kepulangannya dan suami ke Malaysia.
Perkara tersebut membuatkan dirinya dan suami bimbang dan hanya dapat melihat berita menerusi kaca television de­ngan harapan dapat menerima khabar keluarga yang jauh di sana.

KURANGNYA SENSITIVITI SETENGAH PIHAK

Nurul Ain mendedahkan se­panjang dirinya berada di Palestin, dia mendapat permintaan yang sangat tidak masuk akal daripada sesetengah rakyat Malaysia.
Antaranya seperti ingin mendengar dan melihat bunyi letupan dan serangan daripada rejim Zionis, sedangkan Nurul Ain dan keluarganya berada di sana berdoa untuk dijauhkan daripada serangan-serangan tersebut.

Beliau memberitahu sekiranya dia ingin menu­naikan permintaan ‘tidak masuk akal’ itu perlu sekurang-kurangnya 20 orang di Palestin mati, hanya semata-mata untuk permintaan tersebut.

PERANG KALI INI BERBEZA

Mohamed Adan menyifatkan perang yang dilalui oleh Palestin kali ini berbeza berbanding perang-perang sebelum ini yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.

Ini kerana perang yang tercetus pada 7 Oktober lalu bukan sahaja mengenai pertempuran antara Palestin dan Israel tetapi Palestin melawan beberapa negara lain juga.

“Perang kali ini sangat berbeza, berbanding perang pada tahun 2008, 2014, 2015, 2020 dan 2021. Ini kerana perang kali ini kerugian perlu dihadapi oleh Palestin jauh lebih banyak.

“Perang terakhir dalam 51 hari ad

a 10,000 orang yang syahid tetapi perang sekarang dalam tempoh lagi singkat menyebabkan lebih daripada 12,000 syahid. Bangunan juga lebih banyak hancur. Kesan perang juga akan memakan empat ke lima tahun untuk pulih.

“Israel pada perang kali ini juga dilihat lebih agresif berbanding perang-perang lain kera­na mendapat banyak sokongan daripada negara-negara luar.
Nurul Ain memberitahu rak­yat Palestin lebih memerlukan bantuan daripada segi wang tunai kerana di sana duit tidak lagi bermakna apa-apa ia seolah-olah hanya kertas yang tidak bernilai.

Katanya, semasa beliau berada di sana terdapat seorang rakyat Palestin mengetuk pintu rumah kerana ingin meminta pertolongan namun apabila diberi wang, individu tersebut menolak.
TANPA BANTUAN PM, WISMA PUTRA MUSTAHIL
UNTUK KELUAR GAZA

Beliau mendedahkan bahawa agak mustahil untuk dirinya dan suami keluar dari Gaza, terutamanya kerana Malaysia merupakan negara yang tidak menyokong Israel

Nurul Ain memberitahu Wisma Putra melakukan sedaya upaya untuk memastikan beliau berjaya keluar dan selamat pulang ke Malaysia.

“Kebiasaannya warganegara Eropah dan negara-negara lain yang menyokong Israel sahaja mudah atau cepat dibawa keluar tetapi untuk yang tidak sokong pula dibawa keluar pada akhir-akhir.

“Jadi antara 7,900 orang yang hantar nama untuk keluar, saya berada di dalam senarai yang keempat. Tanpa Wisma Putra memang mustahil untuk saya bersama suami keluar.
“Jadi saya nak berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Luar Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, duta-duta Malaysia dan pegawai yang terlibat,” katanya.

MISI MEMBANTU
PALESTIN DAN KELUARGA DARIPADA LUAR

Nurul Ain kini nekad untuk melakukan sedaya upayanya bagi membantu Palestin dan keluarga daripada Malaysia.

“Suami saya bekerja di Dubai, insya-Allah dia akan balik dahulu dan bekerja. Untuk duit, daripada Malaysia ke Palestin memang tidak ada jalan lagi jadi sekarang kami sedang cari daripada sumber-sumber luar.

“Kita tetap akan cari jalan sama ada cepat atau lembat, sebenarnya ‘jalan’ tu dah jumpa cumanya kami tak dapat lagi nak berhubung dengan orang di sana. Kami boleh nak hantar sekarang juga tetapi kepada siapa? Macam mana? Jadi kami sedang tunggu masa,” jelasnya.

NURUL AIN YAKIN 100 PERATUS AKAN KEMBALI KE PALESTIN

Nurul Ain nekad untuk kembali ke tanah Palestin sebaik sahaja keadaan kembali redha atau pintu sempadan di Rafah dibuka semula bagi memberi bantuan kepada rakyat-rakyat Palestin dan keluarganya di sana.

Beliau yakin perkara itu akan dilakukannya 100 peratus kerana rasa tanggungjawab terhadap keluarga mertuanya yang berada di Palestin.
“Insya-allah jika saya mempunyai peluang, saya yakin akan berpatah balik ke Gaza,” ujarnya.

Situasi getir buat saya bersyukur – Nurul

KUALA LUMPUR: Keadaan getir dan menakutkan yang dialami Nurul Ain Haron di Gaza mendorong dirinya mengucapkan dan menzahirkan rasa syukur kepada takdir Allah SWT tentukan.

Menurutnya, dalam berjuta rakyat Malaysia, Allah telah memilihnya, maka bohong sekiranya dikatakan tidak takut dan sukar untuk menghadapi­nya, tetapi banyak pengajaran dan hikmah yang diperoleh.

“Abang dan kakak ipar saya syahid ketika peperangan berlaku dan kami dipanggil untuk pengecaman mayat, tetapi saya berharap mayat itu bukan mereka.

“Kemudian di rumah kami dapat khabar berita mengatakan abang dan kakak ipar syahid, mayat berbau wangi,” katanya ketika sesi dialog yang berlangsung di Surau Al Mukaramah di Keramat hari ini.

Menurutnya, dia berasa takut namun dipujuk oleh suaminya Mohamed A.M. Shaar untuk tidak berasa takut kerana mati syahid.

Selain itu, Nurul Ain berkata, apabila mendengar letupan bom, dia takut sehinggakan saya masih trauma pada hari ini.

Dalam pada itu, suami Nurul Ain, Mohamed A.M. Shaat berkata, ada dua sepupunya sudah mati syahid, termasuk adik dan abang iparnya juga.

“Saya berasa rugi, saya tidak syahid, mereka syahid dan saya tidak,” katanya.

Tambahnya lagi ketika ini air di sana semakin berkura­ngan, tiada elektrik namun semua itu tidak penting kerana yang mereka mahukan adalah keamanan dan bangga mempunyai tanah sendiri.

Mohamed juga berkata, wanita di sana tidur dalam keadaan berpakaian telekung supaya apabila mereka syahid tiada yang dapat melihat aurat mereka.

Mengulas lanjut, Nurul Ain berkata, bukan semua orang boleh keluar dan masuk ke Gaza dengan mudah, sehinggakan pada hari ini yang telah memasuki hari ke-43 masih ada di waiting room untuk pulang.

Sebaik sahaja pulang dari Gaza, beliau berkata, sudah tiga hari dia tidak dapat menghubungi kawan, keluarga dan rakyat Gaza kerana talian terputus.

“Kami tiada senjata di sana, senjata kami adalah doa dan doa orang ramai. Harapan saya teruskan berdoa dan berkongsi rezeki untuk mereka, teruskan memboikot produk israel,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×