Kontraktor runsing trend menaik harga bahan binaan

Kontraktor runsing trend menaik harga bahan binaan

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Lebih 100,000 kontraktor G1 hingga G7 di seluruh negara runsing dan terkesan ekoran trend menaik harga bahan-bahan binaan antara lima hingga 10 peratus yang berterusan sejak September lalu.

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menjangkakan bahan-bahan tersebut akan terus naik sehingga hujung tahun ini dan tidak mustahil berterusan pada 2024.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden PKMM, Abd. Gapar Lambak berkata, antara bahan binaan utama yang terus meningkat harganya adalah besi, simen, pasir, batu, bitumen dan aluminium.

Beliau berkata, harga besi naik RM150 satu tan metrik dari RM2,900 pada September kepada RM3,050 ketika ini.

“Begitu juga simen, pada September, bahan binaan utama ini dijual pada harga RM21.50 setiap beg seberat 50 kilogram. Kini harganya meningkat kepada RM22.50.

“Bitumen pun sama, terus naik daripada RM2,500 satu tan metrik pada bulan lalu kepada RM2,650 ketika ini. Ia naik berterusan sejak September,” katanya di sini semalam.

Abd. Gapar berkata, harga bahan-bahan binaan tidak mencatatkan kenaikan ketika penawaran projek kurang.

“Dapat sahaja projek, bila banyak, harga bahan binaan naik antara lima hingga 10 peratus. Harga bergantung permintaan, bila tak ada projek, harganya turun,” katanya.

Menurutnya, PKMM berharap kerajaan mengawal dan menyelaras harga bahan-bahan binaan utama supaya kontraktor dapat membelinya mengikut harga semasa.

Beliau berkata, selain pemantauan berterusan, kerajaan juga perlu menetapkan harga siling bahan-bahan binaan asas bagi membantu kontraktor kecil yang terbeban dengan kenaikan harga tinggi ini.

“Kerajaan perlu mempertimbang kawalan harga bahan-bahan binaan untuk projek-projek kerja kurang RM200,000. Kadar dari Jadual Kadar Kerja (JKK) atau Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak sesuai untuk projek yang kurang RM200,000.

“Untuk projek kecil, pertimbangan sesuai perlu diguna pakai, ia perlu merujuk kepada harga pasaran atau runcit bukan harga perangkaan yang ditetapkan kerajaaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan khususnya Kementerian Kewangan melaksanakan semula kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) yang berakhir 30 Jun 2022.

Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, VOP adalah indeks bagi mengukur kadar purata harga 14 bahan binaan terpilih untuk enam kategori kawasan di Semenanjung.

“Ia meliputi besi, batu bata, kaca, batu baur, bahan siling, bahan bumbung, kayu, papan lapis, kelengkapan kebersihan, jubin, paip, pasir, cat dan cerucuk.

“VOP dapat dibuat setiap interim sama ada pertambahan atau pengurangan bergantung indeks harga semasa. Sudah pasti VOP menguntungkan dan menyelamatkan kedua-dua pihak (kerajaan dan kontraktor) dari menanggung kerugian,” katanya.

Namun beliau berkata, apabila kerajaan tidak melaksanakan VOP, menjadi sukar untuk kontraktor membuat ramalan isu kenaikan harga bahan-bahan binaan bagi menampung kenaikan kos mereka.

“Kesan jika VOP tidak dilaksanakan, ia boleh menyebabkan kontraktor menghadapi masalah khususnya membabitkan kos kesan kenaikan harga bahan-bahan binaan. Jadi, apabila ini berlaku, akan terjadi isu projek-projek bermasalah dan terbengkalai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×