Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan pelajari bahasa Cina

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan pelajari bahasa Cina

PELAJAR Melayu di Sekolah Menengah Kamil, Pasir Puteh, Kelantan menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam mempelajari Bahasa Cina Komunikasi di bawah bimbingan penulis (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Mandarin atau bahasa Cina merupakan bahasa yang paling banyak digunakan di dunia. Lebih satu bilion penduduk dunia ialah penutur bahasa itu. Malah, Mandarin Standard Moden telah lama diisytiharkan ia sebagai salah satu bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di negara kita, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Kursus Bahasa Cina (BCSK) di sekolah kebangsaan sejak 2007 lagi. Sebanyak 477 sekolah kebangsaan menyediakan kursus tersebut setakat ini. Di samping itu, sebanyak 112 sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) menawarkan Kursus Bahasa Cina Komunikasi (BCK). Selain itu, terdapat 77 kolej teknikal dan vokasional pula menawarkan mata pelajaran bahasa Cina (bahasa Mandarin).

Usaha ini selaras dengan visi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggalakkan semua pelajar mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan. Di samping itu, kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah lama menawarkan Kursus Bahasa Cina Komunikasi untuk para penuntut. Contohnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan kursus ini sejak tahun 1980-an lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai seorang guru bahasa Cina, saya diberikan peluang untuk mengajar bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajar Melayu mulai 2000-an. Pelajar-pelajar mengambil bahasa Cina sebagai subjek elektif secara sukarela. Mereka merasakan mempelajari bahasa lain akan banyak membantu masa depan mereka.

Daripada pengalaman saya, ketika mula-mula pengajar, pelajar-pelajar menunjukkan minat yang tinggi dalam pembelajaran. Namun, latar belakang keluarga dan persekitaran menghadkan kemajuan pembelajaran dan penguasaan bahasa Mandarin. Halangan ini merupakan satu cabaran besar kepada mereka yang mempelajari bahasa Cina.

NADA
Masalah paling utama dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu ketika mempelajari bahasa Mandarin adalah dari segi sebutan nada.

Bahasa Cina mempunyai empat sebutan nada yang utama. Contoh sebutan, ma1 (emak), ma2 (jut), ma3 (kuda), ma4 (marah). Setiap nada membawa maksud yang berlainan. Kesukaran di sini ialah kebanyakan pelajar tidak dapat mengecam dan menyebut empat nada tersebut dengan tepat. Lebih-lebih lagi apabila wujudnya gabungan nada dan perkataan tertentu, maka mereka mudah melakukan kesilapan.

Kesilapan sebutan nada akan membawa maksud yang lain. Ini menimbulkan kekeliruan dan gagal menyampaikan maksud sebenar perkataan.

Sebenarnya, tanpa kita sedari, kita juga sering menggunakan nada yang berlainan untuk menunjukkan seruan dan perasaan apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Contoh, ‘Apa’ dalam pertuturan biasa boleh menunjukkan pelbagai situasi.

Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina, saya lebih menumpukan perhatian kepada latihan perbualan, kemudian diikuti tulisan.

Sistem tulisan aksara Cina tidak menggunakan ejaan. Selain menghafal sebutan, pelajar juga perlu mengingati bentuknya. Setiap aksara mempunyai bentuk berbeza-beza yang dihasilkan oleh strok-strok berlainan. Contoh, tián (sawah) dan chuāng (tingkap). Ia tidak seperti aksara Barat yang hanya mempunyai 26 aksara, iaitu A hingga Z. Jadi, untuk mengenali tulisan Cina, pelajar perlu menghafal dan mengingati bentuk, sebutan dan maksud setiap aksara tulisan Cina.

Berbanding dengan aksara abjad, penulisan aksara Cina nampaknya lebih sukar. Walaupun aksara kelihatan mempunyai banyak strok, tetapi kebanyakannya mempunyai struktur dan bentuk yang dipadankan dengan maksudnya. Contoh, mù (satu pokok), lín (dua pokok jadi belukar), sēn (tiga pokok membawa maksud hutan).

Aksara Cina dipersembahkan secara holistik berdasarkan piktogram. Seperti yang kita sedia maklum, memori imej adalah lebih mudah diingati.

Tidak kira bahasa apa yang kita pelajari, kita mesti mempergunakan dan menerapkannya dalam kehidupan harian. Kita juga perlu lebih banyak berinteraksi dengan orang Cina apabila mempelajari bahasa Mandarin. Dengan itu, kita tentu akan dapat memperbaiki dan mempertingkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin.

Bahkan, kita dapat mengeratkan persahabatan antara kaum. Ini memang menepati sasaran serampang dua mata.

Untuk maju dengan cepat dalam pembelajaran bahasa Cina, pelajar-pelajar Melayu perlu berani dan banyak bertutur dalam bahasa itu dengan guru dan rakan-rakan di sekolah. Mereka tidak harus takut dan malu melakukan kesalahan kerana kita semua akan mencapai kejayaan melalui kesilapan dan banyak latihan.

Pelajar-pelajar juga boleh membaca buku, mendengar siaran radio dan menonton rancangan televisyen dalam bahasa Cina untuk menguasai bahasa ini. Lama-kelamaan, mereka akan biasa dengan sebutan nada bahasa Cina.

Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu kepada anak-anak yang berminat mempelajari bahasa Cina. Anak-anak juga perlu didorong untuk mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan, kaligrafi, mendeklamasikan puisi, drama dan sebagainya. Pengajar pula perlu memastikan pengajaran dan pembelajaran sentiasa menarik.

Kesimpulannya, belajar bahasa Cina sememangnya tidaklah sukar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.-UTUSAN

PENULIS ialah bekas guru bahasa Cina di Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini