Seni kolam bukan sekadar hiasan lantai

Seni kolam bukan sekadar hiasan lantai

SEORANG peserta sedang menyiapkan kolam ketika Pertandingan Seni Kolam di sebuah pasar raya di Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seni kolam bukanlah sesuatu yang asing memandangkan hiasan lantai menggunakan beras pelbagai warna dan kemudian dibentuk kepada pelbagai motif sering dipamerkan ketika sambutan Deepavali.

Bukan sekadar hiasan lantai sempena musim perayaan, kolam sebenarnya membawa makna amat besar kepada masyarakat India.

Penggiat seni kolam, A. Lela Devi, 43, berkata, penggunaan beras dalam seni itu menunjukkan amalan berkongsi rezeki dengan haiwan khususnya serangga dan burung yang berada di persekitaran kediaman.

“Selain itu, kolam dipercayai mampu membawa keberkatan dalam kalangan masyarakat India. Kebiasaannya kolam dicorak dengan motif burung merak, pelita atau bunga yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Hindu.

“Lazimnya kolam dibuat di halaman atau di pintu masuk rumah bagi memudahkan burung atau serangga datang makan beras berkenaan. Kalau dihias di depan rumah ia menjadi penyeri dan membawa keberkatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Pertandingan Seni Kolam di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Berhubung kemahiran seni kolam dalam kalangan generasi muda, Lela Devi yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Prihatin Masyarakat India Malaysia (PPMIM) tidak menolak bahawa ia kian luntur disebabkan arus permodenan dan gaya hidup masa kini.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan itu tidak bermaksud seni berkenaan mula dilupakan orang muda, sebaliknya ia disebabkan keterbatasan pendedahan dan ruang mempelajari seni berkenaan.

“Pada zaman dahulu kolam dibuat oleh golongan wanita pada setiap hari terutama Jumaat atau tarikh kebesaran lain. Tetapi kini ia hanya didedahkan pada hari-hari tertentu seperti Deepavali.

“Bagi mengelakkan seni kolam dilupakan akibat arus pemodenan, kita aktif melaksanakan aktiviti bagi mempopularkan seni itu dalam kalangan golongan muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×