PETALING JAYA: Jolokan Semenanjung Gaza yang sebelum ini dikenali sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’ mungkin akan berubah statusnya kepada ‘tanah perkuburan terbuka terbesar’ sekiranya gencatan senjata tidak berlaku dalam masa terdekat.
Keadaan tersebut tidak mustahil menimpa Semenanjung Gaza disebabkan tindakan agresif rejim zionis terus menerus membedil orang awam tanpa mengira usia sejak 7 Oktober lalu dengan alasan untuk menghapuskan Hamas.
Sedangkan realiti sebenar yang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini adalah rejim zionis menyeksa rakyat Palestin dari pelbagai sudut antaranya menyekat bantuan kemanusiaan, memutuskan bekalan elektrik, air, makanan dan telekomunikasi daripada diterima oleh orang awam di wilayah tersebut.
Bedilan roket bertali arus rejim zionis yang masuk hari ke-38 mengakibatkan angka kematian membabitkan rakyat Palestin meningkat saban hari dan sehingga semalam angkanya adalah 11,180 sudah terkorban dengan 3,250 lagi hilang di bawah runtuhan bangunan.
Angka individu yang tercedera juga mencecah 28,200 orang namun apa yang dikhuatiri adalah individu dengan kecederaan parah mungkin turut terkorban kerana seluruh hospital di Semenanjung Gaza hanya tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’ apabila kehabisan bekalan elektrik, ubatan dan bekalan oksigen kepada pesakit.
Selain itu, ratusan bayi baru lahir di seluruh Gaza juga kini berada dalam keadaan membimbangkan disebabkan inkubator di hospital tidak lagi berfungsi disebabkan ketiadaan bekalan oksigen.
Dalam serangan tidak berperikemanusiaan rejim zionis itu juga, seramai 1.5 juta individu hilang tempat tinggal apabila lebih 200,000 unit kediaman terjejas teruk dan 41,000 musnah dibedil tentera Israel.

Sementara itu, difahamkan, semua pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Al-Syifa iaitu hospital terbesar di Semenanjung Gaza dilaporkan meninggal dunia akibat ketiadaan bekalan elektrik, ubatan dan oksigen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh An-Najjar berkata, peperangan membabitkan Ukraine dengan Russia berlanjutan lebih setahun setengah namun angka kematiannya lebih sedikit berbanding kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap Palestin.
“Di Gaza kurang daripada sebulan, lebih 11,000 rakyat Palestin dibunuh dan lebih 23,000 cedera. Keselamatan kami yang masih hidup hanyalah sementara, hanya menunggu masa.
“Selagi pemimpin negara Islam terus menutup mata dan mengira angka kematian di Semenanjung Gaza… kami yang masih hidup adalah mangsa seterusnya,” katanya ketika dihubungi.
Abu Ayesh yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Palestin berkata, peperangan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan berhenti sekiranya pemimpin negara Islam hanya memerhatikan sahaja tanpa tindakan.
“Kami tidak perlukan makanan atau minuman. Kami perlukan pemimpin yang berani untuk bertindak menghentikan segera kekejaman ini,” katanya. – UTUSAN










